Hee Loy Sian

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor tidak boleh menerima cadangan Ronnie Liu (DAP-Sungai Pelek) berhubung kaedah baru pelupusan sampah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan negeri itu ‘zero sampah’.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian menyifatkan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) itu ‘bercakap senang’ tetapi tidak memikirkan kesukaran untuk melaksanakan dengan cadangannya itu.

Dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi ini, Ronnie Liu mencadangkan kerajaan negeri menggunakan kaedah diguna pakai New Zealand dalam melupuskan sampah tanpa menjejaskan alam sekitar.

Kata ADUN itu, sudah sampai masanya kerajaan Selangor yang mempunyai kuasa melakukan transformasi dalam pengurusan sampah.

“Peraturan kita tidak ikut Persekutuan. Kita ada kuasa untuk urus sendiri cara bagaimana nak ‘zero sampah’, apa salahnya kalau kerajaan negeri menelitinya,” katanya.

Loy Sian kemudian menjawab: “YB Sungai Pelek, cakap senang, tapi pelaksanaannya…

Ronnie: Cubalah dulu, jangan putus asa..

Loy Sian: Sebab itulah saya berharap YB Sungai Pelek jangan sebut pasal… saya tahu Sungai Pelek tidak bersetuju mengenai pelan yang sedang dilaksanakan sekarang yang diambil dari negara Eropah menggunakan teknonogi Waste to Energy (WTE).

Katanya, Ronnie perlu melawat negara Eropah untuk melihat sendiri kaedah yang dianggap berjaya.

Ronnie Liu

Bagaimanapun, Ronnie membantah jawapan itu dengan menyatakan teknologi WTE sudah agak lama dan tidak sesuai dilaksanakan di negeri ini.

“WTE itu cara lama. Yang saya cadangkan ialah cara baru yang digunakan di New Zealand iaitu Resource Efficiency,” katanya.

Loy Sian kemudian meneruskan jawapannya dengan menyatakan, Selangor menerima kira-kira 7,000 tan sampah sehari dan pihaknya dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar. – MalaysiaGazette