Pelatih Madrasah Darul Solihin Al Qadiri membaca ayat suci Al-Quran sempena Hari Nuzul Quran untuk mendapat keberkatan pada bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 APRIL 2022.

IDENTITI sebagai seorang Muslim perlu diperkukuhkan melalui penghayatan agama yang sempurna. Kegagalan untuk memahami ajaran agama Islam yang sebenar membawa kepada banyak masalah di dalam negara. Muslim yang kuat imanya dan sentiasa berpegang kepada ajaran agama mempunyai sistem pertahanan yang baik dalam menghadapi ketidaktentuan dunia pada masa kini. Sebagaimana hadis Nabi SAW yang diriwayatkan yang bermaksud “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW)”(Hadis Riwayat Imam Malik).

Namun begitu, adalah sukar bagi seorang Muslim berhadapan dengan cabaran dunia yang dilihat semakin menghakis nilai dan identiti Muslim. Ini kerana dunia yang sedang bergerak kepada akhir zaman ini merupakan medan ujian bagi mengukur sejauh mana tahap penghayatan dan pengamalan seorang Muslim dan sudah tentunya ianya memerlukan kepada kekuatan iman dan takwa serta amal soleh dalam menghadapi situasi yang mencabar dan sangat rumit. Sebagaimana Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud “Maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.” (Surah Luqman: 33).

Justeru adalah sangat penting sebagai Muslim sentiasa menjaga dirinya daripada tertipu dengan dunia ini. Allah SWT berfirman dengan maksud “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”(Surah al-Hadid, ayat 20).

Islam yang dikurniakan Tuhan buat manusia adalah agama yang sangat sesuai dan selari dengan fitrah kejadian manusia. Sebagaimana pencipta menciptakan manusia begitulah syariat tuhan yang sangat mengetahui hal keadaan manusia. Tuhan tidak mentaklifkan sesuatu perkara melainkan di sana terdapat rahmat dan keluasan nikmat Tuhan terhadap hambaNya. Allah SWT berfirman bermaksud "Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam); (sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut fitrah itu; tidak ada perubahan pada ciptaan Allah; (itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui "(Surah Rum: ayat 30). Justeru, Allah SWT telah menyediakan satu keperluan syariat yang sangat baik untuk manusia beramal bagi tujuan memperkukuhkan identiti sebagai seorang Muslim yang soleh dengan bentuk keyakinan yang sebenar dan amalan yang terpuji. Amalan yang bertentangan dengan syariat tuhan akan membawa seseorang kepada kesesatan dan akan merasai kehidupan yang sangat sempit.

Sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud “Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sungguh, dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan mengumpulkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta.” (Surah Toha, ayat 124). Dunia Islam hari ini telah menyaksikan bagaimana jelas Islam dihina dan diaibkan sendiri melalui lisan dan tindakan umat Islam sendiri yang tidak merasakan bahawa perbuatan tersebut sebenarnya telah mempamerkan teruknya hakisan identiti sebagai seorang Muslim. Dengan pelbagai serangan ideologi dan pemikiran telah dibawa masuk dalam pemikiran umat Islam pada masakini sehinggakan penghayatan Islam sebenar telah tersasar jauh dari ajaran Islam. Betapa ramainya Muslim yang tanpa segan silu dan malu memuat naik isi kandungan di dalam media sosial yang jelas mempunyai pemahaman yang salah serta lebih parah apabila menggunakan platform media sosial untuk membuat penghinaan terhadap Islam melalui jenaka yang melampau dan juga bercambahnya golongan yang mendakwa diri sebagai pendakwah yang ingin merebut bilangan tontonan dan pelanggan dalam media sosial telah merencatkan pelbagai usaha pihak yang menjaga dan memelihara Islam dari memperkukuhkan identiti umat sebagai seorang Muslim yang sejati.

Justeru itu, usaha memurnikan semula identiti dan nilai diri Muslim perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa agama bagi memastikan pemerkasaan insan melalui ajaran Islam yang sebenar dapat direalisasikan pada masa kini. Negara Malaysia mempunyai ramai alim ulama sebagai pakar rujuk dan seharusnya pihak berkuasa bijak merancang dalam usaha membendung kehakisan nilai dan identiti Muslim dan seterusnya menghidupkan sebuah gagasan negara yang yang diimpikan oleh seluruh umat Islam sepertimana dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud “Negeri yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun” (surah Saba’: ayat 15). Masyarakat Muslim yang mempunyai nilai dan identiti yang kukuh akan mampu mewujudkan sebuah negara yang baik lagi diredhai Allah SWT.

Dr. Zuraimy Ali
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast