Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Semua ahli-ahli Parlimen digesa supaya menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kumpulan NGO kesihatan di negara ini telah lama menyuarakan perlunya tabiat merokok ini dihentikan kerana ia telah terbukti meragut puluhan ribu nyawa setiap tahun.

Malah, NGO-NGO terbabit telah mengingatkan kesan tabiat merokok yang sangat bahaya kepada kesihatan di samping membawa natijah buruk terhadap institusi keluarga, kesihatan, budaya hidup generasi muda, kesan sosial yang negatif dan risiko kepada alam sekitar.

“Kami menyatakan pendirian menyokong RUU Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan diketengahkan di sidang parlimen yang sedang berlangsung sekarang.

“Adalah sangat penting RUU ini diluluskan untuk melindungi kesihatan dan nyawa rakyat. Kesihatan rakyat tidak boleh dikompromi oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azmi berkata, di Malaysia, terdapat kira-kira 4.8 juta perokok dan dianggarkan lebih daripada 27,200 kematian berlaku setiap tahun akibat merokok.

Lantaran itu kata beliau, pihaknya membantah keras usaha “melobi” oleh gabungan syarikat pengilang rokok yang cuba menghalang usaha kerajaan untuk mewujudkan undang-undang bagi menghentikan rakyat daripada meneruskan tabiat merokok.

Tegasnya, alasan yang diutarakan syarikat rokok untuk menolak RUU tersebut tidak harus dilayan kerana mereka tidak punya tujuan lain melainkan meraih keuntungan lumayan diatas kesengsaraan rakyat.

Industri rokok sudah bertapak lama di Malaysia yang menyumbang kepada kesihatan rakyat yang kronik semada dikalangan perokok mahupun perokok pasif. Merokok sudah dianggap normal malah dikaitkan dengan kematangan seseorang individu, ujarnya.

Katanya lagi, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke – 37 yang bersidang Kali Ke – 37 pada 1995 lalu telah membincangkan isu mengenai hukum merokok dari pandangan Islam dan telah bersetuju dengan memutuskan bahawa tabiat merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

“Malaysia tidak boleh menerima sebarang ugutan dari industri rokok untuk menolak RUU berkenaan. Kesihatan dan nyawa rakyat harus mendahului kepentingan industri tembakau jika kerajaan benar-benar mahu menyokong polisi pro kesihatan dan pro rakyat.

“Berkompromi dengan industri rokok akan memberi implikasi bahawa kerajaan tidak menilai puluhan ribu nyawa yang terkorban setiap tahun akibat tabiat merokok,” katanya. – MalaysiaGazette