PUTRAJAYA – Gagasan baharu Tun Dr Mahathir Mohamad bersama parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) bertanggungjawab untuk menyelamatkan orang Melayu Islam di negara ini.
Bekas perdana menteri itu berkata, kerajaan pada hari ini didakwa tidak mempedulikan nasib orang Melayu Islam dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menjatuhkan penguasa sedia ada.
“Kita bukan utamakan parti, ini bukan kumpulan pejuang, ini kumpulan orang Melayu yang bernama Islam dan ini kita anggap tanggungjawab kita untuk menyelamatkan orang Melayu Islam.
“Inilah tugas kita dan banyak yang kita perlu lakukan jika kita ingin selamatkan bangsa kita, negara kita, agama kita. Ramai yang tidak faham tentang apa yang sedang berlaku.
“Menjadi tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat ini kepada semua orang Melayu dan Islam supaya mereka bertindak menjatuhkan kerajaan yang bukan memberi perhatian kepada orang Melayu,” katanya pada Amanat Khasnya sempena UlangTahun Pertama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr Mahathir mendakwa, mesej itu perlu disebarkan kepada setiap orang Melayu dan Islam jika mereka tidak mahu kehilangan negara ini.
“Inilah harapan kita tetapi terpulang kepada kita semua, setiap seorang daripada kita lelaki atau wanita, mesej ini mesti sampai kepada orang Melayu semua.
“Mesti sampai kepada mereka mesej, maklumat berkenaan dengan kemungkinan kita hilang negara. Kita sudah hilang banyak bahagian daripada negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette