KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mematahkan aktiviti penyelewengan barang bersubsidi menerusi tiga serbuan berasingan di Selangor sejak 28 Julai lalu.

Operasi dilakukan secara bersepadu dengan kerjasama strategik pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Selangor (SPRM) yang turut menjalankan pemantauan serta risikan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, ketiga-tiga kes tersebut disyaki ada perlakuan tidak beretika melibatkan barang kawalan subsidi bahan api, diesel.

Serbuan pertama dilakukan di dua premis berbeza, masing-masing terletak di kawasan perlombongan, Kuala Selangor dan di sebuah stesen minyak di Jalan Rawang, Bestari Jaya.

“Hasil daripada serbuan dan pemeriksaan secara bersepadu ini terhadap kedua-dua premis sasaran disyaki terdapat aktiviti, elemen yang menunjukkan wujud urus niaga jual beli minyak diesel di antara stesen minyak dengan pemandu lori-lori pasir tersebut.

“Minyak diesel yang dibeli oleh lori-lori pasir terbabit dibawa dan disimpan di dalam skid tank yang ditemui berada di kawasan lombong pasir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, menerusi serbuan pertama di kawasan lombong pasir, dua pemandu lori pasir dan seorang penyelia kawasan lombong pasir ditahan untuk siasatan lanjut.

Arahan deklarasi stok dan mengemukakan maklumat / dokumen di bawah Seksyen 8, Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) telah dikeluarkan kepada kesemua suspek bagi barang kawalan minyak diesel yang ditemui semasa serbuan berada dalam milikan/kawalan suspek, katanya.

Azman berkata, tindakan sitaan telah dilakukan melibatkan dua buah lori jenis treler, tiga unit skid tank dan resit pembelian minyak diesel.

“Anggaran jumlah minyak diesel yang disita di lokasi pertama adalah sejumlah 20,400 liter. Nilai rampasan barangan kawalan termasuk kenderaan dianggarkan keseluruhan berjumlah RM 162,500.00,” ujarnya.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pula ia turut melibatkan aktiviti urus niaga dengan pemandu lori daripada kawasan lombong pasir terbabit.

Bagi kes ketiga pada 29 Julai lalu, operasi dilakukan di sebuah premis tanpa nombor di kawasan lombong pasir di Bestari Jaya, Selangor.

Melalui serbuan itu, pasukan bertindak telah menyita dua unit skid tank disyaki berisi minyak diesel dengan anggaran jumlah 15,000 liter kesemuanya.

Siasatan lanjut terhadap premis tanpa nombor itu dilaksanakan di bawah AKB 1961.

Tegasnya, sabit kesalahan, kesemua yang dituduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Azman mengingatkan pihaknya akan bertindak tegas tanpa kompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna. – MalaysiaGazette