Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan diingatkan supaya memperkasakan pemantauan dalam pelaksanaan Generational Endgame (GEG) dan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Jika tidak ia boleh menyumbang kepada peningkatan permintaan untuk produk tembakau dan vape dalam pasaran gelap, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Ini kerana, katanya, tanpa sekatan atau peraturan yang sewajarnya produk tembakau yang dijual di pasaran gelap boleh dipalsukan dan kemudiannya boleh menyebabkan kemudaratan anggota badan pengguna akibat bahan dan kualiti tidak terkawal.

Beliau berkata, pihaknya sangat bersetuju dengan beberapa pindaan yang dicadangkan.

Katanya, DPIM menyokong penuh pelaksanaan RUU itu sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan yang memikirkan masa depan generasi akan datang.

“Kami menggesa agar semua wakil-wakil rakyat di Dewan Rakyat dan Senator di Dewan Negara untuk meluluskan cadangan GEG dalam RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok demi melahirkan generasi bebas rokok.

“Harus diingatkan juga bahawa akta baharu menerusi GEG tidak akan mencegah perokok dewasa sebagai perantara yang membekalkan produk tembakau kepada generasi muda.

“Kemungkinan akan wujud pelbagai cara dan kaedah lebih kreatif dalam perdagangan produk tembakau dengan melibatkan golongan dewasa sebagai pengantara. Peranan siapakah untuk mengekang masalah ini sebagai agensi penguat kuasa?” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Shahir, sebagai warganegara, tidak dapat dinafikan bahawa rakyat memiliki hak-hak asasi yang dilindungi di dalam Perkara 5 hingga 13 Perlembagaan.

Oleh itu kata beliau, sebarang penguatkuasaan rang undang-undang (jika diluluskan) oleh pihak berkuasa perlu selari dan tidak bercanggah dengan hak asasi tersebut.

Tambahnya, seperti yang dinyatakan sebelum ini, untuk mewujudkan generasi tanpa rokok memerlukan satu anjakan paradigma dan undang-undang yang berkesan kerana setelah 60 tahun merdeka, isu rokok masih tidak selesai. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast