KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mendesak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menarik semula kelulusan pembinaan sebuah rumah ibadat di Damansara Damai.
Ketua Penerangannya, Syed Abdul Razak Alsagoff berkata, sikap tidak mempedulikan keluh kesah rakyat terutama yang beragama Islam di kawasan itu mendorong kira-kira 5,000 penduduk membuat bantahan dengan memasang kain rentang.
Namun, katanya, kain rentang itu telah diturunkan MBPJ dengan pengawasan polis.
Kata beliau, rumah ibadat itu dirancang dibina di tanah lot di PJU 10/1, Damansara Damai.
“Putra mengambil maklum hak semua kaum untuk mempunyai rumah ibadat dan mempraktik agama masing-masing seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, setiap cadangan atau hasrat pembinaan sama ada masjid, kuil, tokong, gereja atau membuka sesebuah pub untuk jualan arak serta hiburan pihak PBT perlu memberi notis terlebih dahulu kepada penduduk.
“Notis itu adalah untuk memberi masa kepada penduduk sekiranya ada, untuk membuat bantahan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Sebuah portal media hari ini melaporkan, seramai 5,000 penduduk Damansara Damai membantah pembinaan sebuah rumah ibadat yang difahamkan diluluskan MBPJ walaupun majoriti penduduk kawasan itu penganut Islam.
Bantahan itu disuarakan dalam memorandum bantahan badan bertindak penduduk pada 18 Januari lalu yang dihantar kepada MBPJ dan sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas.
Difahamkan, ini merupakan bantahan ketiga penduduk kepada MBPJ selepas memorandum pertama pada 2017 dan kedua pada 2019 tidak dilayan.
Menurut Syed Abdul Razak, Putra mengambil kira pandangan dan bantahan penduduk dengan mendesak MBPJ agar menarik balik kelulusan merancang dan membina kerana tidak mengambil kira bantahan orang ramai.
Katanya, tindakan PBT itu dianggap melanggar syarat-syarat bagi pembinaan sesebuah rumah ibadat.
“MBPJ juga harus lebih peka dengan kepadatan penduduk yang mempunyai sembilan kelompok rumah pangsa dan PPRT serta sisa sampah kurang terurus, di samping keadaan jalan yang sempit.
“Adanya rumah ibadat itu, menjadikan penempatan itu seperti “township” yang menambahkan lagi ketidakselesaan penduduk menjalankan aktiviti harian.
“Dengan itu, Putra mendesak MBPJ membatalkan pembinaan rumah ibadat itu atas sebab yang dinyatakan dalam tiga memorandum penduduk sebelum ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk PBT agar menjaga sensitiviti keagamaan dan patuhi undang-undang demi kesejahteraan rakyat semua kaum di negara ini. – MalaysiaGazette