TIDAK cukup tiga gagasan, satu lagi kumpulan yang mengabungkan parti-parti Melayu-Islam akan ditubuhkan hari ini.
Sebelum ini negara mempunyai Barisan Nasional yang induknya adalah parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO.
Kemudian orang Melayu ada Pakatan Harapan yang mengabungkan parti Melayu Islam, Amanah dan majoriti Melayu Islam, PKR.
Selepas itu wujud pula Perikatan Nasional yang menampilkan kerjasama parti Melayu Islam Pas dan Bersatu.
Terkini bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pejuang Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan akan mengumumkan kerjasama dengan parti-parti Melayu-Islam lain hari ini.
Pejuang dilaporkan akan bergabung dengan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kini terdapat empat gagasan yang menghimpunkan parti Melayu-Islam yang saling menentang bagi merebut undi Melayu-Islam dalam pilihan raya akan datang.
Adakah ia berita baik atau berita buruk kepada orang Melayu?
Mengundang perpecahan
Wujud satu lagi gabungan parti Melayu-Islam menyebabkan orang Melayu ketawa namun dalam masa yang sama berasa sedih.
Pemerhati politik Profesor Datuk Dr Ramlah Adam berkata, orang Melayu ketawa bukan kerana berasa gelihati tetapi kecewa kerana ternyata pemimpin mereka seolah-olah hanya memikirkan kuasa dan kedudukan.
“Kita akan ketawa dan sedih. Orang Melayu akan ketawa sebab kita dapati pemimpin Melayu makin tidak fikirkan bangsa. Mereka fikirkan politik dan populariti.
“Ini sebenarnya menyedihkan. Orang Melayu sudah cukup berpecah. Sekarang tambah lagi.
“Walaupun Melayu itu majoriti tetapi akan menjadi kecil dan memecahkan lagi undi kaum itu. Undi Melayu yang berpecah akan menyebabkan (kuasa) politiknya makin lemah,” kata pakar sejarah tersebut.
Gabungan yang banyak dan saling menentang juga akan menyebabkan orang Melayu menjadi bingung dan sukar membuat pilihan.
Dr Ramlah berkata, kewujudan lebih banyak gabungan dan parti politik mewakili orang Melayu dan Islam akan mendatangkan kerugian kepada bangsa tersebut.
“Saya rasa penubuhan gabungan ini jelas akan mengundang perpecahan. Dia akan merugikan orang Melayu sebab mereka akan cuba merebut undi orang-orang Melayu juga.
“Orang Melayu jadi bingung, tak tentu hala nak pilih parti yang mana,” jelas Dr. Ramlah.
Bentuk gabungan hanya untuk kekal relevan dalam politik
Tindakan Dr. Mahathir dan Presiden Putra Datuk Ibrahim Ali untuk bergabung hanyalah untuk memberikan kedua-dua pemimpin senior itu satu platform untuk kekal relevan dalam politik tanah air.
Menurut pemerhati politik Profesor Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain, gabungan itu tidak akan mendapat sokongan pengundi seperti yang dialami parti terbabit dalam pilihan raya negeri (PRN) di Johor baru-baru ini.
“Ini satu perkembangan yang tidak baik dalam konteks kekuatan politik orang Melayu kerana sudah banyak perpecahan Melayu. Dengan ada gabungan ini akan berpecah lagi suara orang Melayu.
“Tapi saya secara peribadi tidak melihat gabungan ini akan memberikan impak yang besar apatah lagi ia melibatkan individu sama seperti Dr. Mahathir dan Ibrahim Ali. Orang akan melihat ini sebagai satu permainan supaya mereka terus relevan dalam politik.
“Kita tak nampak masa depan gabungan ini kerana ia melibatkan tokoh lama dan mungkin tidak ada pembaharuan melainkan menggunakan sentimen perkauman Melayu Islam untuk mendapatkan sokongan kepada mereka,” kata Dr. Izani berterus terang.
Katanya, beliau juga tidak melihat bagaimana gagasan baharu yang akan diwujudkan oleh Dr. Mahathir itu memberi ancaman besar kepada parti yang sudah ada lama dalam sistem politik negara.
Pun begitu, gabungan itu sudah pastinya tetap akan memecahkan lagi undi orang Melayu.
“Melainkan ada pihak mahu undi protes dan tak percaya parti politik yang ada maka mereka akan undi dan memberi sokongan.
“Mungkin mereka yang menyokong gabungan ini berpegang dan percaya kepada ketokohan Dr. Mahathir. Kita tak nafikan masih ada orang Melayu yang simpati, percaya, mengiktiraf kehebatan Dr. Mahathir sebagai pemimpin,” kata Dr. Izani.
Pengundi Melayu kena pilih parti yang besar dan kuat
Sementara itu Dr. Ramlah berkata, sebagai sebuah negara demokrasi sudah tentu tidak boleh untuk menghalang sesiapa untuk membentuk pakatan politik.
Justeru pengundi Melayu perlu mempunyai kesedaran bahawa tidak ada sebarang keuntungan sekiranya undi mereka pecah.
“Kalau Dr. Mahathir nak buat parti apa pun kita tak boleh halang. Sebab ini semua demokrasi. Kita semua ketawalah dan sedih sebab melihat orang Melayu tidak sudah-sudah berkecamuk.
“Pengundi Melayu kena sedar, semua parti Melayu berebut undi orang Melayu. Jadi (undi) orang Melayu ini nak pecah berapa?
“Nak kerat Melayu itu berapa banyak? Habis siapa nak dapat (undi) besar? Bila tiada parti Melayu dapat majoriti, yang ‘dominan’ jadi kerajaan, hancurlah,” kata Dr. Ramlah.
Dr. Ramlah percaya, pengundi Melayu Islam perlu memilih sebuah parti yang besar sahaja bagi memastikan suara mereka didengar.
“Orang Melayu mesti fokus kepada satu parti yang besar. Supaya parti itu jadi kuat. Dengan itu boleh menguasai dan membentuk kerajaan dengan baik. Kalau kita pecah walaupun nak bergabung dengan parti kecil dan serpihan, tetapi suara tetap kecil.
“Mereka menolak UMNO mana boleh. UMNO itu induk dan paling besar. Apabila tolak yang besar, anda kecil-kecil takkan boleh jadi besar walaupun bergabung. Kita kena belajar daripada sejarah,” katanya.
Hanya Islam sebagai penyatuan parti Melayu
Parti-parti politik Melayu boleh bersatu dengan menggunakan Islam sebagai faktor penyatuan.
Dr. Izani berkata, sebagai contoh seperti yang berlaku kepada Pas dan UMNO yang berjaya membentuk Muafakat Nasional.
“Yang menyatukan mereka ini hanyalah agama Islam, kepentingan Melayu. kalau kita lihat dulu mengapa kerjasama Pas, UMNO boleh wujud? Kerana ketika itu dibayangkan survival orang Melayu Islam itu terancam. Sebab itu ada kerjasama.
“Selepas itu ada persaingan politik, persaingan kuasa maka kerjasama politik itu tidak berlanjutan. Sepatutnya parti-parti Melayu ini menginsafi dan patut menjadikan Melayu dan Islam sebagai faktor yang boleh menyatukan mereka. Tetapi disebabkan untuk mendapatkan kuasa maka berlakunya persaingan.
“Jadi mungkin kalau kerjasama ini tidak boleh berlaku dalam pilihan raya mungkin selepas PRU semasa hendak membentuk kerajaan. Parti-parti ini perlu memikirkan cara terbaik mengekalkan kuasa orang Melayu dan Islam,” kata beliau kata Dr. Izani.
Beliau berharap parti-parti Melayu boleh belajar daripada parti-parti majoriti Cina seperti DAP, MCA dan Gerakan.
Parti-parti tersebut akan bersatu jika kepentingan kaum itu dilihat terancam.-MalaysiaGazette