Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media khas mengenai penubuhan gabungan parti-parti gagasan baharu yang dinamakan Gerakan Tanah Air di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan gagasan politik Melayu yang baharu hanya menguntungkan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Ini kerana, Mahathir tahu beliau sukar untuk menang kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Oleh kerana itu, beliau hanya boleh pecahkan undi Melayu sahaja, dakwa Isham Jalil.

”Dan jika dia berjaya pecah undi Melayu, maka PH dan DAP yang akan menang dan untung. Mungkin ini rancangan sebenar dia, sebab ramai kroni-kroni dan taikun-taikun yang sokong dia juga sokong PH dan DAP,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Menurut Isham, Mahathir, kroni-kroni dan taikun-taikun ini tidak kisah akan kesusahan rakyat atau orang-orang Melayu.

“Sebab itu dulu semasa Mahathir berkuasa, beliau berkata, jangan iri hati kepada orang kaya dan apabila rakyat susah dia suruh rakyat ikat perut dan jangan harap bantuan kerajaan.

“Siapa yang undi Mahathir dan gagasan parti baru dia ini akan undi kroni, taikun dan sanggup ikat perut bila susah kerana untuk jaga orang kaya,” kata Isham.

Menurut beliau, Mahathir lupa selama ini dialah yang memecahkan perpaduan orang-orang Melayu di Malaysia.

“Dia bergaduh dengan Anwar dekat 30 tahun lepas, lalu berpecah orang Melayu dan tertubuh PKR (Parti Keadilan Rakyat). Dia bergaduh dengan Pak Lah dekat 15 tahun lepas, lalu lemah orang Melayu dan hilang dua per tiga kerusi di Parlimen.

”Dia bergaduh dengan Najib dekat 7 tahun lepas, lalu berpecah orang Melayu dan tertubuh PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia, lantas DAP dan PH memerintah negara.

“Dia bergaduh dengan Muhyiddin dua tahun lepas, lalu berpecah PPBM tertubuh Pejuang.

”Dia kalah pilihanraya di Johor hilang deposit di semua kerusi lalu dia tak puas hati dan ingin tubuh gagasan parti Melayu untuk pecah lagi undi Melayu,” tambah Isham. – MalaysiaGazette