Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media semasa hadir ke Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang andaian berhubung penularan klip video menunjukkan ribuan minyak masak paket terapung di perairan Indonesia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini pihaknya masih belum dapat mengesahkan kejadian itu.

“Saya ingin beri nasihat kepada orang ramai supaya tidak membuat andaian sehingga berita itu dapat dibuat pengesahan oleh pihak yang lebih berkuasa

“”Tiada satu pihak pun setakat ini yang dapat membuat pengesahan dan memberi butiran lanjut tentang gambar-gambar ditularkan yang dipetik daripada satu akaun media sosial,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Semalam, media melaporkan penemuan ribuan polibeg dipercayai mengandungi minyak masak bersubsidi dari Malaysia berhampiran Pulau Jawa, Indonesia.

Video berdurasi 11 saat itu tular dalam media sosial menunjukkan seorang lelaki sanggup berenang mengutip minyak masak yang terapung di laut dan memasukkannya ke dalam plastik.

Dalam pada itu, Annuar telah mengarahkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) membuat susulan dengan rakan sejawat di Indonesia untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

“Ini kerana ada juga yang mengatakan berita dan klip video itu lama, bukan peristiwa yang baru berlaku.

“Pihak media yang telah menyiarkan berita berkenaan juga saya telah minta sebentar tadi untuk mereka memberikan maklumat lanjut sekiranya ada.

“Sehingga ada kenyataan yang jelas dan sahih, adalah tidak wajar untuk diandaikan minyak yang ditemui di Indonesia itu adalah minyak bersubsidi dari negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette