Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang berusaha memastikan syarat dan prosedur yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang dipatuhi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek itu melibatkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan akan melakukan kajian komprehensif terhadap pembinaannya.

“Cadangan projek ini telah dibentangkan dan mendapat perakuan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-39 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada 21 Oktober 2021.

“Pembangunan projek ini akan dibangunkan di atas tanah seluas 5,042 hektar di kawasan Gebeng, Kuantan, secara usahasama, iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), di mana konsep pembangunan adalah secara Build-Operate-Own (BOO),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, pada persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook membangkinkat persoalan mengenai pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan.

Pada 1 Mac lalu, Perbadanan Setiausaha Kerajaan, Pahang Corporation Sdn Bhd dan Gading Group Berhad memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi membangunkan Bandar Aeroangkasa Pahang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan.

Perbadanan Setiausaha Kerajaan merupakan pemilik tanah, Pahang Corporation Sdn Bhd adalah pengurus dan penasihat projek manakala Gading Group Berhad ialah pemaju utama projek tersebut.

Menurut Wan Rosdy, lapangan terbang baharu itu akan dikendalikan syarikat tujuan khusus (SPV), Pahang Airport Berhad.

Jelasnya, pembinaan Bandar Aeroangkasa Pahang turut mengambil kira faktor hab ekonomi lain kerana ia terletak di Kawasan Industri Gebeng, berhampiran Pelabuhan Kuantan dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). – MalaysiaGazette