Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr Chong Fat Full menyangkal Vasantha Kumar ahli parti Bersatu.

KUALA LUMPUR – Seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Vasantha Kumar sebenarnya tidak pernah mendaftar sebagai ahli parti itu.

Vasantha  yang sejak akhir-akhir ini muncul dalam sidang media Sayap Bersekutu didapati bukan dalam kalangan ahli parti itu malah tidak pernah mendaftar dan dilantik memegang apa-apa jawatan parti tersebut.

Menurut Ketua Sayap Bersatu, Dr Chong Fat Full, Sayap Bersekutu mengambil perhatian dengan persoalan yang ditimbulkan terutamanya dalam kalangan ahli sendiri berhubung status keahlian Vasantha termasuk dakwaan kononnya beliau telah dipecat.

“Untuk makluman semua, Vasantha bukanlah ahli Bersatu jadi secara teknikal tidak berlaku apa-apa isu pecat kerana beliau bukan dalam parti ini,” katanya ringkas.

Nama Vasantha timbul selepas beliau dilihat bersama-sama pimpinan Sayap Bersekutu dalam sidang media dan juga dikaitkan dengan mantan Ketua Penerangan Sayap Bersekutu, S Gobi Krishnan yang baharu sahaja dipecat dari parti itu selepas di sahkan muflis.

Poster Vasantha Kumar bersama logo Bersatu serta Sayap Bersekutu PPBM yang menjadi persoalan ahli-ahli parti itu.

Sebelum ini juga, Bersatu Bahagian Kuala Langat pernah tampil mengesahkan Vasantha bukan sebahagian daripada mereka selepas satu penganjuran program Malam Kebudayaan Sayap Bersekutu.

Bersatu Kuala Langat dalam satu kenyataan mendakwa pihaknya turut memohon tindakan tegas segera diambil kerana Vasantha telah menggunakan logo parti selain memberi gambaran Sayap Bersekutu Kuala Langat sudah ada walaupun ketika itu proses pembentukannya.

Bagaimanapun ketika menghubunginya, Vasantha mendakwa dirinya telah di terima menjadi ahli Bersatu cawangan Sungai Manggis Utara.

Malah kata Vasantha, watikah pelantikan beliau telah diserahkan sendiri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu pada Oktober tahun lepas.

Kelmarin, Dr Chong bertindak memecat Gobi pihaknya telah menyemak dengan Jabatan Insolvensi sebelum mendapat tahu bahawa Gobi telah diisytihar bankrap sejak 7 Januari 2021.

Dalam satu kenyataan kata Dr Chong, walaupun pihaknya agak keberatan melepaskan Gobi yang dianggap sebagai pemimpin lantang dalam parti namun perlembagaan yang termaktub tidak membenarkannya aktif.

Sebelum ini, seorang pemimpin MIC, Timbalan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Pala Kumaran menyoal rasional bagaimana seorang yang didakwa telah muflis masih mampu memegang jawatan Ahli Lembaga Pelesenan (Eksais) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pala Kumaran juga mendakwa individu terbabit memegang jawatan bersekutu Bersatu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gobi muflis, Bersatu pecatnya dari semua jawatan parti