S. Gobi Krishnan

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), S. Gobi Krishnan baharu sahaja dipecat berkuatkuasa serta merta selepas disahkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Menurut Ketua Sayap Bersatu yang baharu, Dr Chong Fat Full, pihaknya telah menyemak dengan Jabatan Insolvensi sebelum mendapat tahu Gobi telah diisytihar bankrap sejak 7 Januari 2021.

Dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, kata Dr Chong, walaupun pihaknya agak keberatan melepaskan Gobi yang di anggap sebagai pemimpin lantang dalam parti namun keadaan Perlembagaan yang termaktub tidak membenarkannya aktif.

Dr. Chong Fat Full

“Kami dapat tahu tentang isu bankrap ini selepas tersiarnya sebuah artikel dalam media ini tentang kebankrapan Gobi. Semakan kami juga mendapati beliau muflis.

“Beliau merupakan seorang yang berdedikasi dan vokal dalam menyuarakan isu-isu masyarakat. Kita sedia terima balik keahliannya jika isu bankrap ini dapat diselesaikan olehnya.

“Parti ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya yang telah berjasa kepada parti ini,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan, Timbalan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Pala Kumaran menyoal rasional bagaimana seorang yang didakwa telah muflis masih mampu memegang jawatan Ahli Lembaga Pelesenan (Eksais) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pala Kumaran juga mendakwa individu terbabit memegang jawatan bersekutu Bersatu.

Setakat ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur masih belum lagi membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu manakala MalaysiaGazette masih cuba menghubungi Gobi bagi komen lanjut. – MalaysiaGazette