MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka mengenal pasti beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diberi tumpuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berdasarkan kekuatan jentera dan sokongan yang dimiliki gabungan itu.
Tanpa mendedahkan nama beberapa DUN terbabit, Pengerusi PH negeri, Adly Zahari berkata, kawasan berkenaan dilihat berpotensi memberi kemenangan kepada PH pada pilihan raya kali ini.
“Secara asasnya saya ingin memberi gambaran bahawa memang PH ada DUN fokus yang telah kita sepakati.
“Walaupun kita sudah selesaikan, memang kita ada DUN fokus dan mungkin kita akan banyak memberikan tumpuan kepada DUN yang kita rasa kita ada jentera, ada sokongan.
“Dalam konteks pilihan raya, sudah pasti kita rasa ada DUN yang kita ada potensi untuk kita capai kemenangan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan program Peduli Veteran Madani di Bukit Katil di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu berkata, pembahagian kerusi antara parti komponen PH telah diselesaikan dan dimuktamadkan di peringkat negeri.
Bagaimanapun butiran berhubung pembahagian kerusi hanya akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH.
Dalam pada itu, tambahnya, PH Melaka masih mengadakan rundingan dan pertemuan dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan pandangan sebelum menentukan hala tuju menghadapi PRN.
Pertemuan berkenaan bukan sahaja melibatkan parti politik malah turut diadakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kita memang telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak. Kita dengar semua pandangan bukan sahaja daripada parti-parti politik tetapi juga rakan-rakan NGO kita.
“Semua pihak yang sedia membuka pintu itu memang kita sentiasa ada wakil-wakil kita untuk melaksanakan rundingan,” katanya.
Bagaimanapun sebarang keputusan berkaitan halatuju PH termasuk hasil rundingan berkenaan akan dibawa kepada Majlis Presiden PH untuk dimuktamadkan.
Menurutnya, keputusan itu akan mengambil kira dua pertimbangan utama iaitu memperkukuhkan perpaduan rakyat Melaka dan memastikan negeri itu terus bergerak ke hadapan.
Katanya, kestabilan politik turut menjadi antara pertimbangan penting dalam menentukan pendekatan PH menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.
“Yang paling penting adalah kestabilan politik kita di Melaka dan memang kita tahu mesej yang kita bawa, Melaka ini macam mana pun, ia adalah rumah kita bersama,” katanya.
Semalam, Timbalan Pengerusi PH Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, PH Melaka tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN Melaka akan datang.
Tegas Pengerusi DAP itu, PH akan bertanding di semua 28 kerusi DUN yang dipertandingkan pada pilihan raya berkenaan tanpa kerjasama parti di luar PH. – MalaysiaGazzette
















