Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua program melibatkan penceramah bebas yang dikaitkan dengan perbuatan tidak wajar seperti tular dalam media sosial dihentikan serta-merta.

Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ia bagi memberi ruang kepada siasatan penuh dilaksanakan.

Terdahulu, menurutnya, beliau mengambil maklum beberapa dakwaan yang sedang tular dalam media sosial melibatkan penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.

Ujar beliau, dakwaan yang dibangkitkan adalah serius kerana melibatkan keselamatan dan perlindungan murid.

Dalam masa sama, katanya, beliau turut meminta KPM mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

“Saya menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat tampil membuat laporan kepada pihak polis.

“Laporan kepada pihak berkuasa sangat penting bagi memastikan anak-anak mendapat perlindungan dan sokongan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, keselamatan murid mesti dipandang serius dan diteliti.

“Keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita tidak boleh dikompromi,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial berhubung dakwaan perlakuan tidak wajar melibatkan seorang penceramah bebas yang sering mengadakan program di sekolah termasuk melibatkan pelajar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here