SHAH ALAM – Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM37.37 juta pada sembilan tahun lalu.

Azlizan Fadzil 52 tahun yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Berdasarkan pertuduhan, Azlizan selaku Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB) telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu wang RM37,374,612.68 yang diperuntukkan untuk pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic berskala besar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.

Tertuduh didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta tersebut dengan secara tidak jujur menyalahgunakannya melalui pelbagai pembayaran bagi tujuan selain daripada tujuan yang ditetapkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad Cawangan UiTM Shah Alam, Menara Sultan Abdul Aziz Shah antara 2 Februari dan 2 Oktober 2017.

Terdahulu, pertuduhan terhadap Azlizan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan dua orang penjamin.

Tertuduh turut diperintah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga oerbicaraan selesai dan melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiga bulan sekali.

Terdahulu pendakwaan yang diwakili oleh Law Chin How menawarkan mahkamah menetapkan jaminan RM100,000 memandangkan pertuduhan melibatkan ketirisan dana awam yang turut melibatkan  reputasi UiTM.

Namun peguam, Hasshahari Johari Mawi memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh yang mengalami strok dan ketidakupayaan kognitif kini tidak bekerja selain ditanggung sepenuhnya oleh isteri dan ahli keluarga.

“Mereka juga mempunyai tujuh anak yang masih belajar dan ditanggung oleh isterinya,” katanya kepada mahkamah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here