GEORGE TOWN – Seramai 29 warga asing ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan ‘Scratch and Win’ (gores dan menang) dalam talian yang menyasarkan mangsa di China dan Kemboja.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, mereka ditahan dalam tiga serbuan berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang di daerah Barat Daya pada 22 September lalu.
Beliau berkata, suspek terdiri daripada 19 warga China membabitkan 18 lelaki dan seorang wanita serta 10 warga Kemboja, termasuk seorang lelaki dan sembilan wanita berusia antara 20 hingga 63 tahun.
Katanya, sindiket terbabit menggunakan banglo dan premis yang diubah suai sebagai pusat panggilan untuk menjalankan sesi secara langsung menerusi platform media sosial termasuk Facebook Live dan LINE.
“Modus operandi mereka sama iaitu menjalankan sesi secara langsung di Facebook dan menawarkan mangsa kad ‘Scratch and Win’, menyebabkan mereka percaya sudah memenangi hadiah utama.
“Mangsa kemudian diarahkan membuat bayaran melalui kod QR untuk kononnya membayar yuran pemprosesan, cukai dan insurans sebelum hadiah boleh dituntut.
“Bagaimanapun, apabila mereka cuba mengeluarkan wang berkenaan, tiada apa yang diterima. Ia adalah satu penipuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Dalam serbuan itu, polis merampas 251 telefon bimbit, 17 komputer riba, dua komputer meja serta enam set modem dan penghala.

Turut dirampas ialah dokumen, rekod pelanggan, kad dan kod ‘Scratch and Win’, selain dokumen lesen atau sijil yang disyaki palsu serta peralatan studio dan komunikasi.
Tambah Dennis Lim, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi antara dua hingga tiga bulan dengan menyasarkan terutama warga China dan Kemboja.
Katanya, jumlah keseluruhan kerugian mangsa masih belum dapat ditentukan kerana siasatan sedang dijalankan.
“Berdasarkan pemeriksaan kita, kod QR itu dikaitkan dengan akaun yang didaftarkan di Kemboja. Kita masih menyiasat.
“Selain itu, tiga serbuan berkenaan membabitkan lokasi berbeza tetapi mempunyai modus operandi sama, menyebabkan kita menyiasat kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan sindiket yang sama.
“Manakala banglo berkenaan disewa pada kadar lebih RM10,000 sebulan setiap satu selain siasatan turut mendapati 14 daripada warga China yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Kesemua suspek direman sehingga 13 Oktober dan disiasat mengikut Seksyen 420 dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana menipu dan melakukan pakatan jenayah.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(3) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette
















