Ong Siang Liang (tengah) ketika sidang media berhubung aduan penduduk dan peniaga di Pasar Pudu terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa mengeluarkan saman secara tidak adil.

KUALA LUMPUR – Isu kekurangan parkir di sekitar ibu negara semakin meruncing berikutan kewujudan kenderaan terbiar dan penyalahgunaan petak parkir awam yang didakwa turut menyumbang kepada masalah berkenaan.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Ong Siang Liang berkata, keadaan itu turut berpunca daripada kawasan parkir di bawah jambatan yang dipagar ketika projek pembesaran jambatan, selain dipenuhi sisa bahan binaan yang terbiar.

Malah, katanya, terdapat warga asing yang didakwa menggunakan kenderaan terbiar sebagai stor atau premis perniagaan, sekali gus mengurangkan jumlah petak parkir yang boleh digunakan orang awam.

“Berdasarkan aduan penduduk dan peniaga, masalah kekurangan parkir di sekitar Pudu menyebabkan ada dakwaan penduduk yang perlu membayar sekitar RM18 hingga RM20 sehari caj parkir.

“Bagi penduduk yang tinggal di kawasan ini, kalau setiap hari perlu bayar RM20, memang menjadi beban. Kalau boleh, kerajaan pertimbangkan kadar yang lebih rendah atau kadar khas untuk penduduk,” katanya.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Ong Siang Liang.

Beliau berkata demikian ketika sidang media berhubung aduan penduduk dan peniaga di Pasar Pudu terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa mengeluarkan saman secara tidak adil, selain isu penjaja tanpa izin yang menggunakan kereta buruk sebagai tempat berniaga. 

Bagi menangani masalah berkenaan, kenderaan terbiar yang memenuhi petak parkir awam sekitar Pasar Pudu dicadang dialihkan dan dilupuskan menerusi proses lelong bagi mengatasi kekurangan ruang parkir.

Siang Liang berkata, kenderaan terbabit perlu dikenal pasti oleh pihak penguat kuasa sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Menurutnya, kenderaan yang ditinggalkan atau tidak lagi sesuai digunakan tidak sepatutnya terus memenuhi petak parkir awam sehingga menutup ruang kepada pengguna lain.

“Kerajaan Persekutuan juga dicadang menggubal undang-undang lebih menyeluruh bagi menangani masalah kenderaan terbiar termasuk melalui proses pelupusan atau jualan lelong awam.

“Andai kata tiada pemilik kereta yang mahu menuntut kereta mereka dalam masa ditetapkan, pihak berkuasa perlu lelong kereta mereka agar masalah parkir ini tidak lagi membelenggu peniaga dan penduduk sekitar,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kenderaan yang dibiarkan dalam keadaan tidak bergerak sehingga mengambil ruang parkir untuk tempoh panjang, termasuk kenderaan yang mengalami kerosakan.

Katanya, penggunaan ruang parkir secara berpanjangan itu menyebabkan pelanggan yang datang untuk urusan singkat terpaksa bersaing mendapatkan petak dengan kenderaan yang diletakkan sepanjang hari.

“Bagi mengatasi masalah itu, tanah kosong milik DBKL, kerajaan atau pihak swasta yang sesuai dicadang dipertimbangkan untuk dijadikan tempat letak kereta awam sementara atau kekal,” ujarnya.

Selain itu, katanya, premis perniagaan juga tidak sepatutnya mengambil petak parkir awam untuk kegunaan sendiri dengan menggunakan kon, kerusi, kotak atau penghadang.

Menurutnya, DBKL sepatutnya mengambil tindakan terhadap pihak yang menggunakan objek tertentu bagi menempah petak parkir awam tanpa penetapan yang sah.

“Gerakan turut mencadangkan penyediaan parkir jangka pendek antara 30 hingga 60 minit di kawasan komersial sibuk bagi memudahkan pelanggan mendapatkan ruang.

“Parkir melebihi dua jam pula boleh dikenakan bayaran lebih tinggi, selain tempoh maksimum dua jam serta penguatkuasaan terhadap kenderaan yang melebihi tempoh ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai pandangan, cadangan atau berdepan masalah berkaitan isu berkenaan supaya menghubungi ibu pejabat Gerakan atau cawangan di negeri masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here