PELABUHAN KLANG – Pasukan Polis Marin (PPM) bakal menerima dua kapal Police Transport Vessel (PTV) bernilai RM100 juta bagi meningkatkan keupayaan operasi dan logistik pasukan itu di perairan negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kedua-dua aset berkenaan dijangka diserahkan kepada PPM pada pertengahan tahun depan.
Katanya, perolehan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh keupayaan PPM dalam menghadapi cabaran keselamatan perairan yang semakin kompleks.
“Penyerahan dua buah kapal Police Transport Vessel (PTV) bernilai RM100 juta dijangka akan diserahkan kepada PPM pada pertengahan 2027.
“Aset ini akan meningkatkan keupayaan operasi PPM dengan pandangan yang lebih luas serta berfungsi sebagai kapal logistik,” katanya ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun ke-79 PPM di Pengkalan Polis Marin Pelabuhan Klang, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusri berkata, PPM turut menerima penambahan aset rondaan dengan nilai projek RM100 juta bagi memperkukuh keupayaan pasukan khususnya dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pencegahan.
“Pemodenan aset amat penting bagi memastikan anggota PPM mampu melaksanakan operasi dengan lebih berkesan di kawasan perairan yang luas,” katanya.
Beliau berkata, keupayaan aset semata-mata tidak memadai sekiranya tidak disokong anggota yang mempunyai kompetensi, integriti, kemahiran dan disiplin tinggi.
“PPM dan aset yang hebat tidak akan bermakna sekiranya ia tidak digerakkan oleh anggota yang hebat,” katanya.
Katanya lagi, PPM perlu terus berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman dalam kalangan warga pasukan bagi memastikan setiap aset dimanfaatkan secara optimum untuk keselamatan negara.
“Pendekatan itu penting dalam memastikan pelaburan besar kerajaan terhadap aset keselamatan memberikan manfaat maksimum kepada operasi PPM,” katanya lagi.
Dalam perkembanga berkaitan, beliau menambah, keupayaan operasi PPM bakal diperkukuhkan menerusi beberapa cadangan perolehan aset baharu termasuk 20 bot Strike Craft jenis Amphibian dan 85 laras senjata GPMG 7.62mm.
Cadangan itu menurutnya, terkandung dalam 19 projek baharu yang dikemukakan PPM di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan 3 (RP3) dengan nilai keseluruhan RM2.283 bilion, selain lapan projek bukan fizikal yang dicadangkan membabitkan nilai RM728.38 juta.

“Antara cadangan utama ialah perolehan 20 bot Strike Craft jenis Amphibian untuk pangkalan PPM yang tidak mempunyai kemudahan jeti dengan nilai RM101.2 juta.
“Turut dicadangkan ialah penggantian dua kapal ronda kelas PSB-PPM bernilai RM200 juta, 20 botronda kelas PSC bernilai RM101.2 juta dan 20 botronda kelas RH/PAR/PGR bernilai RM71.2 juta,” katanya.
Beliau berkata, PPM juga mencadangkan kerja naik taraf dan pembaikan enam botronda kelas PA 20 meter bernilai RM85.16 juta serta lima botronda kelas PA 25 meter bernilai RM91.16 juta.
“Cadangan lain termasuk naik taraf dan pembaikan 10 bot ronda kelas Watercat 14 meter bernilai RM75.86 juta serta perolehan 100 trailer dua tayar untuk wilayah PPM dan kontinjen bernilai RM2.6 juta,” katanya.
Katanya lagi, PPM turut mempunyai cadangan perolehan 85 laras senjata GPMG 7.62mm jenis external pintle mounted untuk bot ronda berserta aksesori bernilai RM25.31 juta.
“Turut dicadangkan ialah perolehan enam bot tempur lengkap dengan persenjataan GPMG untuk kegunaan UNGERIN PPM dan Tiger Platun PGA bernilai RM61 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















