PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden yang dikaitkan dengannya, sambil menegaskan beliau menerima apa jua keputusan yang bakal dibuat.
“Apa pun, saya akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat lanjut dengan penuh ketelitian dan biarlah keadilan muncul kelak untuk semua pihak,” kata Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) itu pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut Shuhaily, apa juga keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa akan diterimanya kerana beliau menyedari bahawa setiap usaha untuk melakukan perubahan mempunyai harga yang perlu dibayar.
“Justeru, apa juga keputusan mereka, saya terima. Kerana pada saya, untuk mengubah sesuatu, ia mempunyai harga. Dan sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya.
“So, I’m owning and I’m facing my incompleteness (Jadi, saya mengakui dan berdepan dengan segala kekurangan yang ada pada diri saya,” katanya.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan seorang individu yang didakwa mirip Mohd Shuhaily sedang memarahi seorang individu lain.
Dalam video berkenaan, kepala individu terbabit turut kelihatan dipegang dengan aksi yang agak keras.
Pada masa sama, turut tular salinan laporan yang didakwa dibuat oleh individu yang mendakwa dikasari Mohd Shuhaily.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan dapat dibuat berhubung kesahihan laporan berkenaan. – MalaysiaGazette
















