ECRL.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta menjauhi jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) susulan beberapa kejadian kecurian dan pemotongan kabel di Selangor yang boleh mengancam keselamatan serta mengganggu kerja pengujian dan pentauliahan.

China Communications Construction ECRL Sdn Bhd (CCCECRL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian itu berlaku selama tiga hari berturut-turut dari 27 hingga 29 Sept, ketika ECRL menjalani pengujian dan pentauliahan menjelang mula beroperasi pada Disember 2026.

CCCECRL menegaskan jajaran ECRL ialah kawasan pengujian aktif dan tidak dibuka kepada awam kerana sistem, peralatan serta kabelnya berisiko berarus elektrik atau sedang menjalani ujian secara langsung.

“Sebarang kemasukan atau gangguan tanpa kebenaran terhadap infrastruktur kereta api boleh mengundang risiko termasuk kecederaan parah atau renjatan elektrik,” katanya.

Kejadian curi kabel pada jajaran ECRL.

Syarikat itu berkata kecurian kabel dan kerosakan infrastruktur boleh mengganggu pengujian kerana peralatan terjejas perlu diperiksa, dibaiki atau diganti.

Menurut kenyataan itu, ujian yang terjejas mungkin perlu diulang, manakala kejadian berterusan boleh menjejaskan jadual projek dan melambatkan jadual operasi ECRL.

CCCECRL telah membuat laporan polis dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Menurut syarikat itu, langkah keselamatan dan pemantauan di jajaran ECRL dipertingkatkan bagi mencegah kejadian berulang serta memastikan kerja pengujian dan pentauliahan berjalan lancar.

“Orang ramai diminta tidak memasuki kawasan larangan di sepanjang jajaran ECRL atau mengusik mana-mana infrastruktur, kabel dan peralatan kereta api.

“Sesiapa yang melihat individu atau aktiviti mencurigakan di sepanjang jajaran berkenaan hendaklah segera melaporkannya kepada polis atau pejabat bahagian CCCECRL terdekat,” katanya. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here