Dr Muhammad Naqib menerima cenderamata daripada Roland Sagah di MEITD, Sarawak Science Centre, Kuching, Sarawak.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor meneliti pelbagai pendekatan pendidikan yang dilaksanakan Sarawak sebagai usaha memperkukuh ekosistem pendidikannya serta pembangunan bakat anak Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, pihaknya baru-baru ini mengadakan lawatan penanda aras ke Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) di Sarawak Science Centre, Kuching.

Beliau berkata, delegasi itu disambut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn bersama-sama barisan kepimpinan kementerian berkenaan.

Menurutnya, lawatan tersebut bukan sekadar bertujuan melihat pelaksanaan sistem pendidikan di Sarawak, sebaliknya memahami serta mengenal pasti amalan terbaik yang boleh disesuaikan dengan keperluan pendidikan di Johor.

“Antara perkara yang menjadi tumpuan kami ialah peningkatan kualiti dan kompetensi guru, kemudahan sekolah, penguasaan Bahasa Inggeris dan STEM, laluan TVET, pembangunan bakat mengikut keperluan industri serta ekosistem penyelidikan dan inovasi,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.

Dr Muhammad Naqib berkata, kesemua input berkenaan amat bernilai dalam usaha memperkukuh pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).

Beliau berkata, Sarawak turut melaksanakan beberapa pendekatan pendidikan termasuk DLP Sarawak dan UP-DLP, SPEAK: Talent Bridge 2030 serta TalentPath Sarawak 2026.

Selain itu, katanya, Sarawak turut menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak bagi 64 kursus terpilih di empat institusi utama di bawah kerajaan negeri.

“Sebahagian pendekatan ini selari dengan usaha yang sedang kita gerakkan di Johor menerusi SRBJ dan Johor Talent Development Council (JTDC),” katanya.

Menurutnya, terdapat juga beberapa idea baharu yang menarik perhatian delegasi Johor untuk diperhalusi dan dikaji kesesuaiannya sebelum disesuaikan dengan ekosistem pendidikan negeri.

Muhammad Naqib berkata, usaha mempelajari pengalaman negeri lain penting bagi memastikan pendekatan pendidikan yang bersesuaian dapat diterapkan mengikut keperluan dan acuan Johor.

“Inilah semangat yang kita bawa, yang baik kita pelajari, yang sesuai kita adaptasi dan yang boleh ditambah baik kita bangunkan mengikut acuan Johor,” katanya.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor, Norliyati Md Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ, Mohd Fahmi Salam.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here