KULAI – Seorang pekerja penyelenggaraan lebuh raya warga Pakistan maut selepas dilanggar sebuah lori yang terbabas di Kilometer 18.5, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima makluman mengenai kejadian tersebut pukul 7.30 pagi.
“Kemalangan melibatkan dua buah lori yang dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis Luton yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Skudai melalui lorong kiri hilang kawalan.
“Insiden ini berlaku selepas sebuah kereta yang belum dikenal pasti dikatakan menukar lorong secara tiba-tiba dari lorong kanan ke lorong kiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, keadaan itu mengakibatkan lori tersebut melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Hino yang sedang berada di lorong kecemasan untuk tugas kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya.

Akibat kemalangan tersebut, lelaki warganegara asing berkenaan berumur 47 tahun yang berada di bahagian belakang Hino mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan yang hadir.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa sedang membuat kerja-kerja mengecat garisan putih di lebuh raya tersebut.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk proses bedah siasat.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-3063710.
Tambahnya, boleh juga hadir terus ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kulai.- MalaysiaGazette
















