Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) akan menyediakan kemudahan penginapan kepada lebih 40,000 penuntut menerusi Projek Residensi Siswa yang dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Okt ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata projek itu merupakan antara model pendekatan yang sedang diusahakan kerajaan bagi mempercepat penyediaan penginapan penuntut di universiti awam, susulan keperluan tempat tinggal mahasiswa yang semakin meningkat.

“Seperti di UM, setakat ini saya difahamkan, penginapan ini akan memenuhi keperluan masa depan lebih 40,000 penuntut kesemuanya. Jadi, projek ini akan dibina secara berperingkat tetapi keperluan asas yang segera itu perlu dilakukan juga,” katanya selepas melancarkan platform ILMUcode oleh YTL AI Labs, di sini hari ini.

Beliau berkata keutamaan penginapan akan diberikan kepada penuntut daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya golongan B40, termasuk mereka yang datang dari jauh dan tidak mempunyai kemampuan untuk mendapatkan tempat tinggal sendiri.

Katanya penyediaan penginapan tersebut bukan semata-mata bertujuan menjana pendapatan, sebaliknya untuk membantu menyelesaikan masalah penginapan kalangan penuntut terutama daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Paling mustahak adalah bukan tujuan semata-mata kita mahu menjana duit, sebaliknya kita mahu menyelesaikan masalah penginapan untuk pelajar-pelajar…khususnya mereka yang tidak ada kemampuan yang datang dari jauh,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UM Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman berkata Projek Residensi Siswa itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan fasa pertama melibatkan penyediaan penginapan untuk 10,000 pelajar, manakala fasa kedua untuk 30,000 pelajar.

Dalam perkembangan lain, Noor Azuan berkata ILMUcode merupakan platform pengekodan berasaskan kecerdasan buatan (AI) pertama yang diperkenalkan di UM bagi membolehkan pembangun dan pelajar mengakses keupayaan pengekodan termaju pada kos lebih rendah.

Beliau berkata platform yang dibangunkan dengan kerjasama YTL AI Labs itu menggabungkan pembantu pengekodan AI berciri agentik dengan model ILMU-GLM-5.3, sekali gus membantu pengguna memahami kod, menulis dan mengubah suai kod serta menyelesaikan masalah pembangunan perisian dengan lebih pantas.

“Kami berbangga kerana Universiti Malaya merupakan universiti pertama di Malaysia yang memberikan pelajar sains komputer kami akses kepada AI pengekodan termaju generasi baharu menerusi ILMUcode. Menerusi ILMUcode, kami dapat melengkapkan generasi pembangun teknologi Malaysia akan datang serta memperkukuh saluran bakat AI tempatan,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here