KOTA TINGGI – Seorang wanita hamil cedera manakala bayi dalam kandungannya maut selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 4.3 Jalan Kota Tinggi-Kluang dekat sini hari ini.
Dalam kemalangan tersebut, Fazila Hamdan, 35, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pendarahan dalaman manakala bayi dalam kandungannya maut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 1.55 tengah hari.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis SYM yang ditunggang wanita berkenaan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 61 tahun.

“Siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada Nissan X-Trail masuk simpang sebelum bertembung dengan motosikal di laluan menegak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut wanita berkenaan cedera dan bayi dalam kandungannya yang berusia 36 minggu meninggal dunia.
Katanya, wanita tersebut sedang dalam rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru manakala pemandu warga emas tersebut tidak cedera.
Tambahnya, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.- MalaysiaGazette
















