KUALA LUMPUR – Majlis Ulama UMNO Malaysia menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjalankan siasatan terhadap fahaman New Age Movement (NAM), khususnya kepercayaan berkaitan Law of Attraction, yang didakwa bercanggah dengan konsep tauhid dan akidah Islam.
Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata, fahaman berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana didakwa boleh membawa kepada kekufuran.
“Majlis Ulama UMNO Malaysia menyeru umat Islam agar berwaspada terhadap fahaman New Age Movement (NAM) iaitu kepercayaan berkaitan Law of Attraction kerana ajaran tersebut amat menyeleweng dan bercanggah dengan konsep tauhid dan akidah Islam. Ia boleh membawa kepada kufur.
“Ia juga bercanggah dengan konsep semangat Kerajaan Madani yang didokong oleh kerajaan kita hari ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, JAKIM selaku sekretariat agama kepada majlis-majlis agama Islam negeri sewajarnya melihat isu itu secara serius dan mengambil tindakan wajar bagi menjaga kemurnian Islam sebagai agama rasmi negara.
Menurutnya, dakwaan bahawa ajaran NAM selaras dengan semangat maqasid syariah juga perlu diperbetulkan kerana konsep berkenaan mesti difahami berdasarkan nas dan kaedah ilmu yang muktabar.
“Jauhilah kegopohan mentafsir agama serta memetik dalil di luar konteks, semata-mata untuk membenarkan sesuatu kebatilan. Sebarang ajaran asing mesti melalui tapisan dalil naqli dan aqli yang berteraskan metodologi Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk disahkan sebagai benar, betul dan boleh diamalkan,” katanya.
Dusuki berkata, siasatan JAKIM bersama panel pakar ilmuan diperlukan bagi membantu Perdana Menteri membersihkan Kerajaan Madani daripada sebarang anasir yang membangkitkan kemarahan umat Islam.
“Majlis Ulama UMNO Malaysia juga menuntut agar isu ini diangkat ke pengetahuan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu kerana ia telah tular dan merebak di dalam masyarakat dan melibatkan ramai individu pemegang jawatan yang tinggi dalam kerajaan khususnya mereka yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran negara,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook berkongsi mengenai program yang dikaitkan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli yang didakwa berunsur NAM dan perkongsian itu mendapat perhatian warganet di media sosial.
Pada 18 September lalu, media melaporkan Marhamah memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran NAM.
Menerusi kenyataan, Marhamah menafikan segala tohmahan yang dibuat ke atasnya selain menuntut pihak terbabit menarik balik penerbitan berkenaan, menghentikan penyebaran serta membuat permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka dalam tempoh berkenaan.
Marhamah dalan kenyataan menafikan dakwaan beliau menganut, mengamalkan atau menyebarkan ajaran NAM atau mana-mana ajaran yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
Marhamah berkata, beliau mengambil perhatian serius persoalan dan kebimbangan dibangkitkan masyarakat berhubung dakwaan mengaitkannya dengan NAM.
Tegasnya, beliau menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bercanggah dengan syarak dan prinsip akidah Islam, termasuk mana-mana unsur NAM yang bertentangan dengan akidah serta syariat Islam. – MalaysiaGazette
















