KUALA LUMPUR – Beberapa kali ditegur dan diberi amaran, namun kegiatan ‘counter setting’ serta pencerobohan warga asing di pintu masuk negara masih berleluasa sehingga memaksa Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengambil tindakan lebih keras.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, tindakan Mohd Shuhaily ketika menjalankan siasatan terhadap pendatang asing tidak sepatutnya dijadikan modal untuk menjatuhkan reputasinya.
“Pendekatan tegas itu perlu dilihat berdasarkan keseriusan kesalahan yang cuba dibanteras, khususnya apabila teguran dan amaran sebelum ini tidak mendapat perhatian sewajarnya.
“Saya menyambut baik keberanian Shuhaily mengambil tindakan terhadap kegiatan yang mencemarkan integriti penguatkuasaan sempadan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, Mohd Shuhaily menerusi kenyataannya menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan lanjut yang mungkin dikenakan susulan satu video tular melibatkan beiau berhubung satu kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Jamal menegaskan, beliau percaya sikap agresif Mohd Shuhaily itu berpunca daripada kekecewaannya apatah lagi sekiranya terbukti dalang di sebalik kegiatan itu merupakan anggota penguat kuasa sendiri.
“Ini kerana mereka berpotensi menjadi penghubung kepada sindiket yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan kawalan pintu masuk.
“Keberanian Shuhaily wajar dipuji kerana membanteras budaya yang menghalalkan penyeludupan migran,” katanya.
Menurut Jamal, tindakan membanteras kegiatan itu perlu dilaksanakan secara berterusan tanpa mengira kedudukan atau pangkat individu terlibat.
“Saya berharap usaha Shuhaily dapat memastikan kegiatan yang selama ini membolehkan migran menyusup masuk melalui pintu negara dapat dibongkar, manakala pihak yang bersubahat perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Selain itu, Jamal turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat dalang di sebalik penularan video itu yang dipercayai mahu mensabotaj usaha kerajaan membanteras jenayah tersebut.
“Saya menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyiasat perkara ini dengan adil dan saksama.
“Saya percaya dalangnya semata-mata mahu menghalang usaha kerajaan membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam khususnya di pintu masuk negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















