JOHOR BAHRU – Johor akan memperkasa teknologi smart city bagi membolehkan warga bandar raya ini menerima notifikasi amaran banjir setiap kali hujan lebat luar biasa dan berisiko berlaku banjir kilat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, notifikasi amaran banjir akan dihantar secara terus ke telefon bimbit menerusi aplikasi pintar.
“Sudah sampai masanya inisiatif itu dilaksanakan segera bagi membolehkan maklumat amaran bencana itu dihantar secara terus kepada rakyat sekali gus mempercepatkan tindakan menyelamatkan diri dan harta benda.
“Kita perlu dapatkan seberapa banyak nombor telefon rakyat yang kita ada dan apabila berlakunya hujan lebat, mereka boleh terus dapat notifikasi.
“Di Jepun, dalam lingkungan 200 hingga 300 meter, jika ada amaran, mereka dapat notifikasi, contoh pemandu teksi yang berada di sekitar kawasan berisiko itu mereka akan dapat mengelak daripada laluan yang akan dinaiki air,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Jafni mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bertindak berhubung kejadian banjir kilat luar biasa yang melanda beberapa lokasi di bandar raya ini semalam.
Pada masa sama, Mohd Jafni menegaskan, dua siren amaran banjir berfungsi ketika insiden banjir kilat semalam dan setiap satunya berbunyi sebanyak tiga kali.
Bagaimanapun, beliau menyedari bunyi itu mungkin kurang jelas dan tidak didengari oleh sesetengah penduduk setempat.
“Semalam, bunyi. Di Kampung Mohd Amin, tiga kali bunyi yang di bawah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bersebelahan Hospital Sultanah Aminah (HSA) pun sensor itu bunyi tiga kali.
“Cuma, isunya sekarang orang tak dengar, sebab itu kita kena tengok balik sistem ini, kita akan bincang dengan pasukan teknikal kita,” katanya.
Selepas berlaku banjir kilat di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini semalam, terdapat dakwaan sebilangan pihak di media sosial yang mendakwa sistem amaran hujan lebat dan banjir itu tidak berbunyi. – MalaysiaGazette
















