MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Johor state election
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Najib Razak menyalahkan pentadbiran Kerajaan Pakatah Harapan (PH) berikutan kelewatan pembinaan Kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menimbulkan rasa tidak puas hati Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Presiden MUDA itu berkata, projek berkenaan telah diluluskan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Menurut Syed Saddiq, agak melampau untuk bekas perdana menteri itu menyalahkan PH.

Tambahan menurut beliau, projek pertama LCS hanya siap 44 peratus sedangkan pembinaan kapal itu seharusnya telah mencapai lebih 90 peratus pada tahun 2019.

Ahli Parlimen Muar itu secara sinis berharap Najib tidak menyalahkan PH dalam isu kapal selam Scorpène pula.

“Balik-balik salah PH, balik-balik salah PH. Projek ini semua lulus masa zaman BN. Kalau ye pun nak cakap PH tangguh masa 2019, agak-agaklah.

“LCS 1 pun sampai sekarang baru 44 peratus siap. Patutnya sudah lebih 90 peratus masa 2019 betul tak? Jangan pulak kapal selam Scorpène salah PH juga,” ciap Syed Saddiq di Twitternya.

Najib dalam hantaran di Facebooknya hari ini mempersoalkan sikap setengah-setengan pemimpin PH berkaitan pembinaan LCS TLDM.

Beliau berkata, semasa menjadi kerajaan pada 2018, PH telah melewatkan projek dan membekukan sepenuhnya pembinaan kapal tersebut pada 2019.

Menurut Najib, projek berkenaan masih berjalan semasa pemerintaan BN dan kapal pertama sepatutnya diserahkan pada 2019.

“Pandemik pula menimpa pada tahun 2020 dan 2021. Akhirnya projek baharu dipersetujui untuk disambung pada bulan April 2022. Jadi, bagaimana pula kapal-kapal boleh siap?

“PH lewatkan projek pada tahun 2018, bekukan projek pada tahun 2019, lalu tanya kenapa tiada sebarang kapal diserahkan pada tahun 2022?

“Projek ini bukan tidak pernah disiasat. Ianya disiasat oleh jawatankuasa ditubuhkan PH pada tahun 2018. Boustead juga membuat laporan SPRM pada bulan Disember 2020 untuk menyiasat projek ini,” kata Najib.

Projek LCS menjadi perhatian selepas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh mendedahkan kajian yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Ia adalah antara sembilan rumusan yang diperolehi PAC menerusi prosiding berkaitan kontrak berkenaan.- MalaysiaGazette