Ahmad Fadhli (dua dari kiri) melancarkan jentera pilihan raya Pemuda Pas dengan menyampaikan panji kepada Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas di Pulau Pinang, Asyrul Firdaus.

TASEK GELUGOR – Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa pembubaran Parlimen bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya dibuat berdasarkan pandangan daripada parti UMNO.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, ia susulan sebarang pelaksanaan polisi penting dalam kerajaan juga dibuat mengikut pandangan parti itu tanpa mengambil kira pendapat Perikatan Nasional (PN).

“Kenapa saya sentuh soal politik dalaman UMNO kerana sudah pasti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Naib Presiden UMNO akan mengambil kira pandangan partinya dalam membubarkan Parlimen.

Ahmad Fadhli.

“Apabila perdana menteri mengumumkan kerjasama dengan parti pembangkang sudah tamat pada 31 Julai lalu, beliau menyebut bahawa itu yang dikehendaki isyarat atau pimpinan UMNO kepadanya.

“Walau apa pun kita hormati hak perdana menteri dan sudah pasti kita jangka soal pembubaran Parlimen, pandangan UMNO itu akan diambil kira sebagai priority (keutamaan) kepada beliau (Ismail Sabri),” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Ahmad Fadhli merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang ke-42 di Pusat Pengajian Darul Hadis di sini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah dan Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas negeri, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Pada majlis itu, Ahmad Fadhli turut melancarkan jentera pilihan raya Dewan Pemuda Pas.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fadhli berkata, Pas bersedia setiap pada untuk menghadapi PRU-15.

“Kita memang harap PRU-15 diadakan akhir penggal dan menganggap kini bukan masa sesuai kerana negara baru keluar daripada belenggu Covid-19 dan rakyat belum pulih daripada sengsara akibat pandemik tersebut.

“Namun, kita lihat tekanan hebat dikenakan terhadap perdana menteri untuk mengadakan PRU-15 jadi Pas tidak ada masalah untuk itu dan kita memang bersedia dari masa ke masa,” jelas beliau. – MalaysiaGazette