Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berucap pada Majlis Perasmian MAHA 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 06 OGOS 2022.

SERDANG – Pemodenan dan pertanian pintar adalah penyumbang utama untuk transformasi sektor agromakanan negara di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Ia memfokuskan kepada pendekatan baharu berasaskan teknologi moden dan pembangunan mampan selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030, kata Menteri Pertanian dan Indisutri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

“Malah, sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), agenda pemodenan dan pertanian pintar juga antara fokus utama dalam memacu sektor agromakanan negara yang mampan, berdaya tahan dan berpacukan teknologi.

“Dalam hal ini, kerajaan akan memberi tumpuan yang berterusan kepada pemodenan sektor agromakanan bagi meningkatkan produktiviti dan menjamin sekuriti makanan negara di samping memacu pertumbuhan ekonomi demi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.

Pameran itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu Ronald berkata, MAHA 2022 kali ini menawarkan rangkaian kenalan perniagaan baharu bagi mempelajari kaedah dan inovasi pertanian terkini supaya masyarakat pertanian Malaysia cakna serta dapat mengambil bahagian dalam gerakan
menerajui revolusi pertanian era IR 4.0 yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Katanya, sehubungan itu, pemilihan tema MAHA 2022: Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan adalah tepat dan selari dengan komitmen kerajaan yang terus memberi tumpuan dalam agenda memperkukuh sekuriti makanan negara.

Tambah beliau, objektif utama penganjuran MAHA adalah untuk mempromosikan sektor agromakanan dan industri makanan dengan mengetengahkan kepelbagaian produk, kejayaan-kejayaan perusahaan serta pelbagai inisiatif yang diambil oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta.

Jelasnya, MAHA turut memberi sorotan utama kepada keseluruhan ekosistem dan rantaian nilai sektor pertanian selain menyediakan ruang untuk mempamerkan peluang-peluang perniagaan yang ditawarkan oleh industri agromakanan yang sedang berkembang pesat.

“Pada tahun ini, MAHA 2022 yang meliputi 22 segmen menjadi lebih istimewa kerana ia diadakan secara ‘Hybrid’ buat pertama kalinya, di mana acara platform langsung dan maya digabungkan.

“Diharapkan melalui gabungan pengalaman seunik ini, sektor agromakanan akan mendapat tambahan momentum dalam menjana pendapatan yang lebih tinggi untuk negara.

“Dengan penyertaan lebih 1,500 booth pempamer, MAHA kali ini mensasarkan seramai 1.1 juta pengunjung dengan 250 juta ringgit potensi nilai jualan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast