KUALA LUMPUR – Penurunan Indeks Harga Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) bagi bulan Julai diharapkan akan memberi kelegaan kepada tekanan inflasi tempatan dalam bulan mendatang.
Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sentiasa meneliti indeks itu setiap bulan dan merasa lega dengan penurunan sehingga empat peratus sejak Mac lalu.
“Indeks Harga Makanan United Nations bagi bulan Julai turun lagi iaitu penurunan empat bulan berturut-turut sejak Mac.
“Saya harap trend penurunan ini akan memberi kelegaan kepada tekanan inflasi tempatan dalam bulan mendatang.
“Dari dulu lagi saya akan meneliti indeks ini setiap bulan dan secara jujur saya agak lega melihat trend kenaikan harga berterusan sejak tahun lepas yang seram telah dipatahkan dan bertukar hala,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Kelmarin, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) melaporkan, harga makanan turun dengan ketara pada Julai, menandakan penurunan bulanan kelima berturut-turut sejak mencecah paras tertinggi pada awal tahun berikutan perang di Ukraine.
PPB telah menerbitkan indeks harga makanan terbarunya yang ditunggu-tunggu, barometer yang menjejaki perubahan bulanan dalam harga antarabangsa lima komoditi makanan iaitu bijirin, minyak sayuran, produk tenusu, daging dan gula.
Indeks itu purata 140.9 mata pada bulan Julai, hampir sembilan mata turun daripada Jun.
Penurunan itu diterajui oleh penurunan peratusan dua angka dalam kos minyak sayuran, tetapi juga bijirin, dengan perjanjian yang ditengahkan PBB baru-baru ini mengenai eksport bijirin Ukraine menjadi faktor penyumbang.
Justeru, Najib berharap, indeks itu akan membawa kepada penurunan harga makanan tidak lama lagi. – MalaysiaGazette