Pasar Dinda yang diadakan di Lorong Seni, Kuantan Art Street.

KUANTAN – Keunikan Pasar Dinda yang merupakan satu-satunya ‘flea market’ atau pasar lambak berkonsep dianjurkan khas untuk wanita semakin mendapat perhatian usahanita dan pengunjung di sini setiap malam hujung minggu.

Manakan tidak, ia terletak di lokasi hotspot sepanjang Lorong Seni, Kuantan Art Street yang terkenal dengan pelbagai lukisan mural hasil tangan artis tempatan dan terdapat juga jajaran kafe ‘hipster’ yang boleh dikunjungi.

Pengunjung Pasar Dinda tidak melepaskan peluang bergambar di gerbang masuk

Ketika ditemui MalaysiaGazette, salah seorang penganjur Pasar Dinda, Mona Rasidah Abdul Rashid, 37, berkata, pada awalnya, gabungan itu mahu menonjolkan konsep ‘pemerkasaan wanita’

Maka timbul idea flea market berkonsep yang memperuntukkan peniaga wanita sahaja dan mereka ditetapkan syarat untuk memastikan tapak jualan dihias dengan cantik.

“Bukan itu sahaja. Sebenarnya kami mencari juga vendor-vendor daripada pelbagai kaum. Kita tak khaskan kepada Melayu sahaja, kita buka untuk kaum India, Cina. Kita nak kemasyarakatan tu ada,” kata Mona.

Selain Mona, tunjang utama Pasar Dinda juga membabitkan dua lagi rakannya iaitu Noor Halieza Zainuddin, 30 dan Fatin Elina Omar, 31, yang sentiasa mencadangkan idea baharu untuk konsep mingguan pasar lambak itu.

Penganjur Pasar Dinda, Kuantan iaitu Noor Halieza Zainuddin (kiri), Mona Rasidah Abdul Rashid (tengah) dan Fatin Elina Omar (kanak)

“Apa yang uniknya, kebiasaan kita akan buat tema setiap hari Sabtu, jadi istimewanya untuk malam ni kita buat tema 90-an. “Back to 90s”, ulas Noor Halieza.

“Jadi, kalau nak sertai kita punya tema fasyen, yang minat berfesyen, boleh datang ke Pasar Dinda setiap hari Sabtu. Kita ada buat tema,” tambahnya sambil tersenyum.

Menurut Fatin pula, terdapat hampir 30 orang usahanita yang berniaga barangan terpakai seperti baju, kasut, beg dan aksesori terpakai setiap hari Jumaat dan Sabtu di Pasar Dinda yang bermula 6 petang hingga 12 tengah malam itu.

Salah seorang usahawan wanita yang berniaga di Pasar Dinda menunjukkan barang jualannya kepada pengunjung.

“Untuk permulaan sebenarnya bagi kami sangat baik. Sebab untuk flea market berkonsep macam ni sebenarnya agak baru di Kuantan. Terutamanya khas untuk peniaga wanita,”kata Fatin.

“Niat kami memang nak lebih ramai vendor dengan pelbagai produk yang dijual terutamanya produk-produk kraf tangan dan ‘home made food‘,”tambahnya.

Beliau turut mengharapkan agar lebih ramai usahawan wanita berminat untuk menyertai flea market  berkenaan agar dapat mempromosi produk mereka di platform jualan secara terus kepada pembeli itu.

Dalam pada itu, Mona turut menyuarakan impian mereka bertiga  untuk memperkenal konsep unik Pasar Dinda ke seluruh negara jika pasar lambak itu terus mendapat sambutan memberansangkan.

Oleh itu, beliau menyeru dan meminta sokongan daripada badan-badan kerajaan seperti Tourism Pahang untuk terus mempromosikan Pasar Dinda sebagai produk tempatan yang boleh menjana ekonomi negeri dan wanita khususnya.

Bagi usahanita di Pahang yang berminat untuk menyertai Pasar Dinda, bolehlah menghubungi Mona, Lieza dan Fatin menerusi laman media sosial Instagram: Pasor Dinda Ladies Flea Market untuk mengetahui dengan lebih lanjut.- MalaysiaGazette