KUALA LUMPUR – Doakan Ainul. Ainul agak ‘teruk’ hari ni lepas diserang sawan berulang kali semalam, demikian menurut bapa kepada Ainul Mardhiah Ahmad Saifuddin Ahmad Razak.
Kanak-kanak perempuan yang pernah menghidap kanser Germ Cell Tumor itu kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan kuman.
Berita sedih itu dikongsi Ahmad Safiuddin menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Ahmad Safuddin berkata, Ainul Mardhiah, 4, diserang sawan berulang empat hingga lima kali dalam tempoh kurang 12 jam.
Jelasnya, keadaan anaknya itu nampak sangat berbeza.
“Ainul pernah banyak kali jatuh sakit sebelum ini, tapi saya nampak dia masih bertenaga untuk melawan walaupun diberi ubat tidur.
“Hari ini, walaupun tanpa sebarang ubat tidur, keadaan Ainul sekarang seperti ditidurkan.
“Hanya bola mata saja Ainul mampu gerakkan. Badannya kaku,” ujarnya.
Ahmad Saifuddin yang sentiasa menemani permata hatinya itu berkata, kejadian sawan itu kali pertama menyerang Ainul Mardhiah.
“Semalam waktu sawan menyerang, walid ada di sisi kakak.
“Perit tak terucap bila tengok keadaan kakak semalam. Sakit,” tulisnya lagi.
Pada masa ini, pihaknya masih menantikan keputusan doktor selepas pemeriksaan CT Brain dan ultrasound dibuat di bahagian perut.
“Walid berharap sangat tak ada perkara yang serius menjadi penyebab kakak tiba-tiba sawan semalam.
“Dan walid berdoa pada ALLAH SWT, sawan semalam tidak memberi apa-apa kesan buruk pada tubuh badan kakak.
“Kami semua sayang Ainul,” katanya lagi.
Tiada daya seorang ayah melihat derita anak kecil itu, Ahmad Saifuddin mengaku menangis sejak anaknya diserang sawan.
“Saya menangis semahu-mahunya sejak serangan berlaku tengah malam tadi.
“Saya tak dapat nak gambarkan apa yang saya rasa sekarang. Saya sangat sayang dengan Ainul. Saya reda,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, pihak doktor masih berusaha merawat Ainul.
“Kita semua sudah mendoakan yang terbaik untuknya.
“Sekarang tiba masanya saya serahkan urusan ini kepada yang Hak untuk menentukan.
“Jauh di sudut hati, saya masih berharap keajaiban dari ALLAH SWT.
“Semoga ALLAH SWT izinkan Ainul kuat dan dipanjangkan usianya supaya saya dan keluarga masih dapat menjaga dan membesarkannya di depan mata. Tapi apa lah daya saya,” tulisnya lagi.
Ahmad Saifuddin menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa.
“Saya tidak tahu manakala DIA tahu segalanya. Doakan untuk Ainul Mardhiah kami,” katanya.
Kisah Ainul Mardhiah pernah menggemparkan Malaysia yang simpati dengan nasibnya menderita tumor di mulut ketika berusia lapan bulan.
Keluarga itu kemudian berlepas ke London bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital kanak-kanak di London pada 10 Jun 2019.
Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette