KUALA LUMPUR – Malaysia menerima kemasukan kumpulan pertama pekerja warga Bangladesh bagi sektor pembuatan pagi tadi.
Ia susulan daripada Memorandum Persefahaman (MOU) Mengenai Penggajian Pekerja Warga Bangladesh yang telah ditandatangani oleh kedua-dua negara pada 19 Disember 2021.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Saravanan berkata, pekerja warga Bangladesh dijangka masuk secara berperingkat mulai hari ini.
Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh pada minggu lalu juga telah mengesahkan permohonan daripada 80 majikan tempatan yang melibatkan penggajian seramai 6,000 warga Bangladesh.
“Bagi para majikan yang telah membuat bayaran levi kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan bercadang untuk menggajikan pekerja warga Bangladesh boleh memohon pengesahan penggajian dan dokumentasi seperti kontrak pekerjaan serta pesanan kerja ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette