Datuk Seri Shahidan Kassim. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim membatalkan pelantikan S.Gobi Krishnan sebagai Ahli Lembaga Pelesenan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berkuat kuasa 4 Ogos lepas.

Shahidan berkata, kementerian telah membuat carian kebankrapan individu menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia pada 3 Ogos lepas dan keputusan diterima mengesahkan S.Gobi Krishnan berstatus bankrap mulai 7 Januari 2021.

“Berdasarkan semakan undang-undang yang dibuat oleh kementerian ini, didapati walaupun telah berstatus bankrap, pelantikan beliau bagi tempoh 20 Julai 2021 hingga 3 Ogos 2022 adalah teratur serta tidak melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan.

“Akta Eksais 1976 (Akta 176) tidak memperuntukkan bahawa seseorang yang bankrap tidak boleh dilantik menjadi Ahli Lembaga Pelesenan. Akta itu juga tidak memperuntukkan bahawa jawatan itu secara automatiknya menjadi kosong jika Ahli Lembaga Pelesenan berstatus bankrap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahidan, berkata S.Gobi Krishnan telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelesenan WPKL berkuat kuasa mulai 20 Julai 2021 hingga 19 Julai 2023 berdasarkan perwakilan kuasa yang dibuat di bawah Seksyen 86 Akta 176 yang telah pun diwartakan melalui P.U. (B) 359/2014 pada 24 Julai 2014.

“Dalam hal ini, Menteri Kewangan telah mewakilkan kuasanya di bawah seksyen 31 Akta 176 kepada Menteri Wilayah Persekutuan untuk menubuhkan Lembaga Pelesenan dan melantik ahli Lembaga Pelesenan bagi Wilayah Persekutuan,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast