Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Baginda untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai isu skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia di hadapan Pintu 3 Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'M, 10 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah menganggap skandal kapal tempur pesisir (LCS) sebagai bola tanggung yang boleh membebankan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebaliknya kerajaan pada hari ini perlu bertanggungjawab dan berintegriti dalam pentadbirannya dengan menyiasat skandal itu dengan telus.

“Saya rasa isu bola tanggung atau bola tak tanggung tak timbul, yang penting kita kena pastikan bahawa kerajaan tadbir dengan telus, cara baik dengan ada integriti.

“Apabila ada isu macam ini, ini bukan isu bola tanggung, bukan isu politik, ini isu untuk rakyat, kebaikan rakyat dan negara,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Pintu 3 Istana Negara, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memohon perkenan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Memorandum itu diterima Setiausaha Sulit Kanan YDPA, Datuk Nazim Mohd Alim, kira-kira jam 4 petang.

Antara kandungan memorandum itu merujuk kepada Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen (PAC) berkaitan Perolehan LCS bagi TLDM yang didedahkan di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Menurut memorandum itu, wujud kepincangan dalam projek pembinaan LCS bernilai lebih RM9 bilion yang perlu disiasat dengan terperinci kerana melibatkan kedaulatan negara daripada sudut keupayaan TLDM dalam melaksanakan pelbagai operasi.

Bersatu merasakan ada keperluan untuk menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal pembelian enam kapal LCS yang melibatkan kontrak secara rundingan terus berjumlah RM9.128 bilion.

Menurut Wan Saiful, penubuhan RCI itu perlu disegerakan kerana kelak akan menjejaskan nama baik YDPA selaku pemerintah tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Isu ini telah membelakangkan TLDM khususnya dalam menolak pandangan TLDM sebagai pengguna akhir untuk perolehan ini,” katanya. – MalaysiaGazette