PERANG tercetus lagi di Gaza selepas rejim Zionis melancarkan ‘Operation Breaking Dawn’ pada 5 Ogos 2022 baru-baru ini. Operasi mensasarkan kumpulan Jihad Islami, kumpulan kedua terbesar di Gaza selepas Hamas. Serangan pertama disasarkan ke rumah Taysir Jaabari, Pemimpin Kanan Briged Al-Quds, sayap ketenteraan Jihad Islami. Taysir syahid dalam serangan tersebut.
Serangan seterusnya mensasarkan dua orang lagi pemimpin kanan Jihad Islami, Ahmad Mudallal dan Khaled Mansour. Ahmad terselamat tetapi Khaled syahid dalam serangan di Rafah. Rejim Zionis juga mensasarkan beberapa lokasi lain dipercayai tempat pelancaran roket, penyimpanan senjata dan tempat latihan Briged al-Quds. Serangan berlarutan selama 3 hari, dari Jumaat (5 Ogos 2022) hingga Ahad (7 Ogos 2022), sebelum gencatan senjata dimeterai dengan perantaraan Mesir.
Motif serangan
Rejim Zionis mendakwa serangan ini ialah langkah pintas (preemptive) untuk mencegah serangan balas kumpulan Jihad Islami selepas pihak rejim menahan Sheikh Bassam Saadi, pemimpin kanan kumpulan itu dalam satu serbuan di Jenin, pada Selasa, 2 Ogos 2022. Serangan ini juga boleh dianggap sebagai helah untuk mengalihkan pandangan daripada pencerobohan Masjid al-Aqsa oleh kumpulan ekstremis Zionis sempena Perayaan Tisha B’av pada hari Ahad, 7 Ogos 2022. Rejim Zionis bimbang pencerobohan ini akan mencetuskan satu lagi perang besar-besaran seperti Mei 2021. Sebab itulah satu operasi dengan sasaran yang terhad dan tertumpu hanya kepada kumpulan Jihad Islami dan bukan Hamas dilancarkan ke atas Gaza.
Sebahagian penganalisis melihat serangan ini sebagai cubaan kerajaan Yair Lapid untuk meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Israel November nanti. Lapid mahu dilihat sebagai lebih berjaya daripada Netanyahu dalam menangani ancaman kumpulan bersenjata di Gaza. Apa yang pasti, rejim Zionis semakin terdesak ekoran peningkatan penentangan rakyat Palestin di Tebing Barat, khususnya di Jenin dan Nablus, selepas serangan ke atas Gaza pada Mei 2021. Sebahagian daripada penentangan ini dipelopori oleh kumpulan Jihad Islami.
Serangan tahun lepas benar-benar telah menyuntik semangat penentangan berterusan di Jenin dan Nablus. Kalau sebelum ini penentangan hanya dilakukan dengan batu dan bom botol, kini sebahagian sudah mula menggunakan senjata api.
Serangan tahun lepas juga telah menguatkan lagi jalinan operasi penentangan di antara Gaza dan Tebing Barat.
Sebab itulah, penahanan pemimpin kanan Jihad Islami di Jenin terpaksa disusuli dengan serangan ke atas kumpulan itu di Gaza. Dan kalau anda masih ingat dengan insiden 6 orang rakyat Palestin berjaya meloloskan diri dari Penjara Gilbao pada September 2021, 4 orang daripadanya adalah ahli kumpulan Jihad Islami. Insiden ini benar-benar mencalar reputasi rejim Zionis. Justeru, tidak hairanlah mengapa Jihad Islami menjadi sasaran utama dalam serangan kali ini.
Kesan serangan
Serangan telah menyebabkan 44 orang rakyat Palestin terkorban. 15 daripadanya adalah kanak-kanak. Serangan juga telah menyebabkan 360 orang rakyat Palestin cedera. Sebahagian mengalami kecederaan parah sehingga kehilangan anggota badan seperti Rahaf Salman, 11 tahun yang hilang kedua-dua belah kaki dan sebelah tangannya. Jumlah kerugian belum dapat dipastikan. Setakat ini 1,500 buah kediaman dianggarkan musnah dan 100 lagi tidak selamat lagi untuk didiami.
Rejim Zionis mendakwa operasi telah berjaya melemahkan keupayaan ketenteraan kumpulan Jihad Islami. Namun, Briged al-Quds dilihat masih mampu melakukan serangan balas sepanjang 3 hari pertempuran; termasuk di saat-saat akhir sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan. Menurut akaun twitter rasmi rejim Zionis, Briged al-Quds telah melancarkan lebih 1,100 roket ke arah Israel. Sebahagian berjaya sampai hingga ke Tel Aviv dan Jerusalem, memaksa siren dibunyikan, aktiviti ekonomi dihentikan dan para penduduk di arah berlindung di kubu bawah tanah. Rejim Zionis mendakwa operasi kali ini menyaksikan peningkatan keupayaan Iron Dome menangkis serangan-serangan roket dari Gaza.
Keupayaan Iron Dome dilaporkan meningkat kepada 96% berbanding 94% dalam serangan Mei 2021. Tetapi, ini mungkin disebabkan oleh keupayaan roket Briged al-Quds jauh lebih rendah berbanding roket Briged al-Qassam. Rejim Zionis berbangga kerana berjaya meminimumkan impak serangan-serangan roket dari Gaza ke atas rakyatnya. Hanya 4 orang rakyat Israel, termasuk dua orang tentera, dilaporkan cedera akibat serangan roket, dan hanya sekitar 20 orang mendapat rawatan akibat panik dan kecederaan ringan ketika lari ke tempat perlindungan bom.
Secara keseluruhan, kesan serangan adalah yang paling minimum dalam siri-siri serangan rejim Zionis ke atas Gaza sejak Disember 2008. Ini kerana serangan hanya berlangsung selama tiga hari dan Hamas tidak turut serta dalam serangan balas ke atas Israel. Kenapa? Ini memerlukan huraian dalam penulisan berasingan.
Khalid Jimat,
Ketua Pegawai Penyelidik,
Palestine Centre of Excellence (PACE).