Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari mahkamah selepas selesai perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Pendengaran permohonan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak bagi mendapatkan dokumen berkaitan syarikat dikawal oleh keluarga Tan Sri Zeti Akhtar Aziz di tangguhkan Mahkamah Rayuan hari ini.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Ravinthran Paramaguru memberi penangguhan selepas dimaklumkan peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah cuti sakit kerana demam pagi ini.

Ravitharan sebelum menangguhkan prosiding turut bertanya kepada pasukan pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib jika mempunyai sebarang bantahan namun dimaklumkan tiada bantahan penangguhan untuk hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan esok untuk pengurusan kes sebelum memutuskan tarikh baharu bagi pendengaran rayuan itu.

Untuk makluman, selain dokumen berkaitan keluarga Zeti, Najib turut memohon  dokumen Low Taek Jho atau Jho Low.

Pada 12 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menolak permohonan untuk mendapatkan dokumen berkenaan kerana melihatnya sebagai tindakan pramatang.

Menurutnya, beliau tidak melihat bagaimana dokumen bank yang berkaitan dengan dana diterima keluarga Zeti, relevan untuk kes pembelaan.

Sequerah berkata, dokumen yang dimohon Najib untuk mempertikai kewibawaan Zeti sebagai gabenor Bank Negara Malaysia itu disifatkan sebagai “serangan kolateral”.

Mahkamah turut menolak satu lagi permohonan Najib untuk mendapatkan rekod telefon bimbit bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang dibicarakan atas 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 hingga Disember 2014. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast