JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dan mencuci dadah lama tumpas apabila tiga individu termasuk seorang wanita dicekup polis dalam tiga serbuan berasingan di Johor Bahru dan Pekan Nanas Pontian, kelmarin.
Mereka yang ditahan berusia 32 hingga 49 tahun.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket yang beroperasi sejak Mac tahun ini dikatakan menjadikan apartmen sebagai melakukan aktiviti haram itu.
“Dalam serbuan kira-kira 11.15 pagi, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dengan berat lebih 15.49 kilogram berjumlah RM644,195.
“Hasil saringan urin mendapati dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
“Modus operandi kegiatan pengedaran ini adalah dengan menyewa apartment mewah berpagar dan berpengawal untuk dijadikan tempat penyimpanan dan mencuci dadah.
“Berdasarkan penemuan bahan kimia di lokasi, menunjukkan terdapat proses pencucian dadah mungkin dadah lama nak dibaharukan melibatkan dadah jenis ice atau syabu.
“Sindiket ini menggunakan khidmat pakar yang melakukan proses mencuci dadah lama sebelum diedarkan bagi ke pasaran tempatan mahupun luar negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis merampas 11.13kg syabu, 4.23kg ketamin dan 139 gram pil erimin 5 dengan nilai RM644,195 yang boleh digunakan seramai 77,280 penagih.
Polis turut menyita enam buah kereta, pelbagai barang kemas, beberapa botol bahan pencuci dan wang tunai berjumlah RM109,840.
Sindiket dipercayai telah beroperasi sejak Mac lalu di kawasan berpagar dan berpengawal bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 16 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, suspek warga asing itu turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara kerana memiliki pasport dan kad pengenalan yang disyaki palsu.- MalaysiaGazette