Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Dato’ Md Silmi Abd Rahman (kanan) bertukar dokumen Perjanjian Kolaborasi Dana Pembiayaan ESG Untuk Agrikultur Pertanian Pintar Dan Jaminan Makanan bernilai RM70 juta. Majlis turut disaksikan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) serta Dato' Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI.

KUALA LUMPUR – Agrobank dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) memeterai Perjanjian Kolaborasi Dana ESG Financing for Agriculture bernilai RM70 juta untuk menyediakan pembiayaan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera.

Ia ditawarkan bagi keseluruhan rantaian nilai agromakanan, untuk meningkatkan amalan pertanian moden dalam sektor pertanian pintar, sekaligus menggalakkan penggunaan automasi berteknologi tinggi dalam perniagaan berasaskan pertanian mereka.

Pembiayaan yang juga menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ini juga bertujuan untuk memastikan pembangunan ekosistem Bumiputera secara holistik dan mampan, memfokuskan kepada aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (KEGA) di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030.

Dalam kolaborasi ini, Agrobank menyediakan pembiayaan sebanyak RM30 juta yang memfokuskan kepada Pertanian Pintar dan RM40 juta bagi Jaminan Makanan kepada syarikat Bumiputera yang layak dan mengamalkan teknik pertanian moden untuk membiayai perbelanjaan modal (Capex) dan/atau perbelanjaan mengurus (Opex).

Majlis pertukaran dokumen perjanjian kolaborasi diwakili oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Md Silmi Abd Rahman turut disaksikan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan serta Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang juga merupakan Pengerusi Teraju.

Bercakap mengenai kolaborasi ini, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, program ini dibangunkan dengan tujuan untuk menggalakkan lebih ramai usahawan PKS Bumiputera mengguna pakai teknik dan teknologi pertanian moden ke dalam perniagaan berasaskan pertanian mereka.

Setiap permohonan yang berjaya akan mendapat manfaat kemudahan pembiayaan sehingga RM1 juta dengan tempoh maksimum pembayaran balik sehingga 10 tahun.

”Skop pembiayaan ini meliputi Capex dan perbelanjaan Capex, namun tidak terhad kepada input benih, baja, bahan infrastruktur, dan relevan untuk tujuan projek pertanian pintar dan amalan pertanian moden yang boleh meningkatkan pengeluaran hasil dengan kualiti yang lebih tinggi,” tambah Tengku Ahmad Badli Shah.

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah lagi, pembiayaan ini juga boleh digunakan untuk tujuan pembelian mesin berteknologi tinggi seperti automasi penuaian, traktor autonomi, pembenihan dan merumput dan dron yang boleh membantu meningkatkan produktiviti perusahaan berasaskan pertanian dan agromakanan mereka.

”Agrobank sentiasa menyokong penuh inisiatif sebegini, selaras dengan agenda jaminan bekalan makanan negara dan penerapan amalan teknologi revolusi industri 4.0 (IR 4.0) ke dalam sektor pertanian Malaysia,” ujar beliau.

Tambah beliau, suntikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ke dalam perusahaan berasaskan pertanian dan agromakanan ini, bukan sahaja dapat menjamin peningkatan kualiti dan kuantiti pengeluaran, malah akan dapat terus meningkatkan taraf hidup para pengusaha, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast