LUMUT – Kontraktor utama pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menafikan pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kononnya 15 peratus daripada peralatan yang disimpan dalam stor berjumlah RM1.7 bilion telah usang.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BNS, Kapten (B) Ir Azhar Jumaat berkata, tidak adil untuk menyamakan tahap keusangan peralatan elektronik termasuk televisyen dengan peralatan taktikal ketenteraan yang mengalami proses keusangan.
“Kita sudah tengok lima kapal LCS dalam pembinaan dengan beberapa peringkat tahap kesiapan dan juga sistem peralatan bernilai RM1.7 bilion dalam stor penyimpanan atau gudang kami.
“RM1.7 peralatan usang yang sebenarnya tidak tepat dari segi terma usang dalam kontrak kami. Peralatan itu hanya mengalami keusangan, ia adalah proses, bukan usang.
“Peralatan yang mengalami keusangan boleh diuruskan jika kita melakukan penyelenggaraan rutin. Ia (tv) tidak boleh dibandingkan dengan peralatan kritikal untuk tujuan aktiviti riadah krew kapal,” katanya pada sidang media di bangunan BNS di sini, hari ini.
Terdahulu beliau membawa puluhan petugas media melawat lima kapal perang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dalam peringkat pembinaan selain melihat sendiri peralatan taktikal bernilai RM1.7 bilion di gudang penyimpanan peralatan LCS.
Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata, pembayaran lebih RM6 bilion daripada nilai keseluruhan kontrak pembinaan LCS dibuat bagi menampung perbelanjaan pembelian hampir semua peralatan diperlukan bagi pembinaan enam kapal berkenaan.
Ahmad Nazim berkata, nilai keseluruhan kontrak pembinaan LCS adalah sebanyak RM9 bilion dengan progres pembinaan lima kapal berkenaan ketika ini adalah 55 peratus.
Dalam pada itu, Azhar juga memberi jaminan kesemua peralatan LCS yang menggunakan alat ganti pengilang peralatan asal (OEM) mempunyai sokongan teknikal sehingga 25 tahun akan datang.
“Saya memberi jaminan dengan semua OEM khususnya misi kritikal, item kritikal pertempuran di mana peralatan itu masih boleh beroperasi, masih ada sokongan untuk 25 tahun akan datang, jadi ia tidak usang sebenarnya,” jelasnya.
Selain itu, Azhar mendedahkan tahap kesiapan rekabentuk LCS kini mencapai 95 peratus setakat ini.
“Reka bentuk itu digunakan untuk melaksanakan kerja pembinaan (kapal LCS),” katanya.
Ketika ditanya tentang pecahan perbelanjaan yang digunakan BNS selepas kerajaan membayar lebih RM6 bilion, Azhar berkata, kesemua dana itu digunakan untuk perbelanjaan sebenar pembinaan LCS.
“Sudah tentu kita perlu faham, kita perlu membayar pengurusan projek, kos pembiayaan, elektrik, untuk kerja pembinaan infra dan lain-lain,” katanya.
Azhar bagaimanapun enggan menjawab berhubung baki dana yang diperlukan untuk menyiapkan LCS, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Akan ada sesi spesifik yang akan dibawa oleh Menteri Pertahanan untuk jelaskan apa yang diperlukan, apa pilihan untuk projek itu bergerak ke hadapan.
“Saya serahkan kepada Menteri Pertahanan untuk menjawab soalan itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette