Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

PUTRAJAYA – Kerajaan telah memulakan perbincangan dengan pihak berkaitan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, perbincangan itu melibatkan jabatannya bersama Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Katanya, turut terlibat dalam perbincangan itu ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, JPM (BHEUU, JPM) bagi membincangkan berkaitan RUU berkenaan.

Jelas beliau, antara perkara dasar penting dibincangkan ialah berhubung penubuhan entiti pengawalseliaan sumbangan politik, penyumbang yang dibenarkan dan penetapan penalti ke atas kesalahan di bawah undang-undang itu.

“Saya telah mengarahkan pihak GIACC agar memperhalusi perkara dasar ini dan pihak BHEUU serta AGC menyediakan draf pentadbiran dengan mengambil kira pandangan serta contoh yang diberikan pihak Pertubuhan Masyarakat Sivil CSO dan NGO.

“Selain itu, analisa perbandingan pemakaian undang-undang ini dari negara-negara lain perlu dilaksanakan bagi tujuan penanda aras undang-undang ini.

“Saya juga menyarankan undang-undang ini diselaraskan dengan undang-undang sedia ada di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan SSM,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Di samping itu, Dr. Wan Junaidi turut menyarankan draf RUU disediakan secepat mungkin bagi membolehkan sesi libat urus diadakan dengan semua pemegang taruh mengikut garis masa yang akan disediakan oleh GIACC.

Ini katanya, bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus politik, yang mana adalah wajar undang-undang ini dilaksanakan dengan segera.

Sehubungan itu, satu Memorandum Jemaah Menteri dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri September ini bagi membolehkan RUU Sumbangan Politik dibentangkan di sidang Parlimen Oktober ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast