asyraf wajdi dusuki pasca banjir
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Terdapat perbezaan ketara antara projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia dengan projek terowong bawah laut yang mahu dibina oleh Kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, terdapat bukti fizikal bahawa kapal-kapal pertahanan milik TLDM itu sedang dalam pembinaan.

Manakala projek terowong di Pulau Pinang walaupun sejumlah RM305 juta telah dibayar namun tidak ada sebarang petunjuk bahawa projek yang dimeterai sejak 2011 itu sedang dibina.

“Lihatlah perbezaan yang jelas antara fakta isu Kapal LCS dan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menteri DAP Lim Guan Eng.

“Yang jelas dalam kes kapal LCS isu utama yang dibangkitkan PAC (Jawatakuasa Kira-Kira Wang Negara) adalah kelewatan. Kapal-kapal jelas masih sedang giat dibina.

“Sedangkan dalam isu terowong dasar laut RM305 juta yang telah dibayar daripada kos RM6.3 billion terowong masih belum nampak sebarang hasil,” kata Asyraf Wajdi.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO tetap mendesak supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk untuk mengenal pasti punca kelewatan pembinaan LCS.

Katanya, sekiranya wujud penyelewengan mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Pendirian Pemuda UMNO jelas, siapa juga yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan kerana melibatkan pembaziran wang rakyat dan masa depan negara!” katanya.

Syarikat pengendali Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) membawa media ke tempat pembinaan LCS semalam untuk melihat sendiri kemajuan pembinaan kapal tempur terbabit.

Media melaporkan lima LCS sudah mencapai perkembangan antara 22 hingga 60 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Ir Azhar Jumaat berkata, kapal pertama sudah mencapai tahap 60 peratus diikuti kapal kedua sebanyak 48 peratus, kapal ketiga (43 peratus), kapal keempat (36 peratus) dan kapal kelima (22 peratus).

Manakala pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang masih lagi samar-samar.

Memorandum Persefahaman (MoU) pembinaan terowong itu dimeterai di Putrajaya pada 28 April 2011 yang turut dihadiri Guan Eng.

Projek tersebut dianugerahkan kepada Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) melalui proses tender Request For Proposal (RFP) pada 6 Februari 2013.

Guan Eng ketika ini berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Bekas Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast