JDT menyenaraikan Guilherme De Paula bagi kejohanan AFC Champions League (ACL) menentang Urawa Red Diamonds di Jepun pada Jumaat ini.

KUALA LUMPUR – Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) selamat tiba di Tokyo, Jepun semalam untuk menghadapi perlawanan penting pusingan kalah mati AFC Champions League (ACL) menentang Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama pada 19 Ogos ini.

Harimau Selatan tiba lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan bersiap sedia dari segi mental serta fizikal di mana  Jepun juga akan jadi rumah semua perlawanan di peringkat suku akhir dan separuh akhir.

Ketika dibimbing oleh Benjamin Mora, kelab tersebut mencipta sejarah apabila muncul sebagai juara kumpulan I selepas mengutip 13 mata.

Kemenangan JDT itu tidak mudah kerana mereka ditempatkan bersama pasukan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai dan juara J-League, Kawasaki Frontale.

Skuad Harimau Selatan kini dikendalikan oleh jurulatih baharu iaitu Hector Bidoglio.

Skuad Harimau Selatan kini dikendalikan oleh jurulatih baharu iaitu Hector Bidoglio dan mereka mempunyai misi melakar satu lagi sejarah dengan mara ke peringkat suku akhir.

Seramai 35 pemain telah disenaraikan kali ini dan turut disertai oleh pemain import baharu seperti Jordi Amat dan Levy Madinda.

Bagi memperkuatkan jentera pertahanan kiri, JDT turut membawa pemain kacukan Malaysia-England, Daniel Ting. Malah, pemain muda berbakat, Daryl Sham turut dipilih menyertai skuad utama dalam saingan ACL.

Paling mencuri tumpuan peminat ialah kehadiran pemain naturalisasi dari Brazil, Guilherme De Paula yang disenaraikan jika penyerang utama, Bergson Da Silva mengalami kecederaan.

Walaupun kelibatnya jarang kelihatan dalam saingan Liga Super musim ini namun De Paula juga sempat beraksi bersama skuad JDT II untuk meningkatkan tahap kecergasannya. – MalaysiaGazette