Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) bersama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang berakhir pukul 10 malam tadi tidak membuat keputusan mengenai permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyertai gabungan itu.

Menurut Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pihaknya masih belum memperhalusi permohonan keenam-enam parti termasuk PBM.

“Mesyuarat juga turut membincangkan permohonan beberapa buah parti untuk menjadi komponen BN. Dewan Tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti-parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama-sama dengan BN.

“Kesemua permohonan tersebut sedang diperhalusi oleh pihak urusetia BN,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat itu berakhir.

PBM dilaporkan membuat permohonan menyertai BN bagi membentuk sebuah gabungan parti baharu sebagai persediaan menghadapi PRU-15.

Jun lalu, PBM dilaporkan mengumumkan keputusan untuk melantik Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin, sebagai ‘presiden pengganti’ parti itu.

Ditanya mengenai lima lagi parti yang ingin menyertai BN, Zambry bagaimanapun tidak memperincikan nama-nama parti tersebut.

“Yang pasti lebih daripada satu parti yang memohon untuk menyertai BN.

“Ia akan diuruskan oleh urusetia BN dahulu dan bila sampai waktunya akan diumumkan nanti,” jelas Zambry menjawab soalan bila keputusan mengenainya akan diumumkan.

Dalam mesyuarat itu juga, Zambry berkata, persiapan gabungan itu bagi menghadapi PRU-15 juga dibincangkan.

“Dewan Tertinggi BN turut berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan yang sedang dijalankan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seluruh negara,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette