Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sedang memberi perhatian untuk menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tumpuan itu selaras dengan inisiatif MyDIGITAL yang bertujuan mentransformasi Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi berpacukan pendigitalan, sekali gus menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Sehubungan itu, katanya, K-KOMM memberi tumpuan kepada aspek utama iaitu pengukuhan infrastruktur komunikasi, menarik pelaburan digital dan membina tenaga kerja serta modal insan dalam sektor teknologi digital.

“Bagi mengukuhkan ekosistem kesalinghubungan, K-KOMM telah melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebagai usaha memperluaskan liputan dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar untuk peralihan kepada teknologi 5G.

“Pelaksanaan rangkaian 5G ini sedang dijalankan secara berfasa bermula di kawasan mempunyai aktiviti ekonomi yang tinggi kerana kelebihan teknologi 5G lebih memberi impak kepada sektor perusahaan dan industri,” katanya dalam sesi menjawab Pertanyaan-Pertanyaan di sidang Dewan Negara, di sini, hari ini.

Annuar berkata, kementeriannya sedang menyasarkan peluasan rangkaian 5G meliputi 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk pada penghujung tahun 2024.

Kata beliau, K-KOMM juga turut menambah baik infrastruktur ekosistem kesalinghubungan di bawah pelan JENDELA+ bagi menyokong pelaksanaan MyDIGITAL.

JENDELA+, katanya, tertumpu kepada tiga unsur iaitu kesalinghubungan antarabangsa (“International connectivity” atau IC), “Internet Exchange Point” (IXP) dan Pusat Data (“Data Centre” atau DC).

“IC, IXP dan DC ini saling berintegrasi dan bertindak sebagai penyambung infrastruktur ekosistem yang menyokong penyedia perkhidmatan untuk memenuhi permintaan rangkaian terakhir dalam rantaian nilai ini.

“Penyambung infrastruktur ekosistem amat penting terutama dari segi meningkatkan daya saing kabel pembekal yang mampu mengurangkan harga transit Internet Protokol (IP) dan mempertingkatkan jalur lebar,” katanya.

Dari aspek pelaburan digital pula, Annuar menjelaskan, K-KOMM melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berperanan menarik pelaburan digital.

Kata beliau, strategi dan perancangan lima tahun (2021-2025) MDEC adalah bertumpu kepada lima teras utama untuk menarik pelaburan dan memajukan ekonomi digital negara.

Lima teras utama itu ialah fokus pada sektor-sektor yang digalakkan iaitu sembilan bidang tumpuan inisiatif Malaysia Digital dan lapan pemboleh teknologi, menarik pelaburan RM50 bilion, mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam industri digital, menarik 50 syarikat teknologi Fortune 500 untuk beroperasi di Malaysia, dan ) menarik lima syarikat unicorn global beroperasi di negara ini.

Beliau turut menjelaskan pelan tindakan strategik yang dilaksanakan oleh MDEC untuk menarik pelaburan luar (FDI) dan domestik (DDI) serta memposisikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

Pelan itu antaranya, memperkasakan Digital Investment Office (DIO), platform kolaborasi bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sebagai tetingkap tunggal (single window) untuk fasilitasi pelaburan digital;

Kolaborasi antarabangsa dan peringkat negeri untuk mempercepatkan pendaratan pelaburan digital; mempercepatkan penjanaan permintaan domestik untuk memacu pelaburan strategik; memastikan Kesediaan Lokasi Pelaburan untuk menyokong inisiatif Malaysia Digital; dan memacu pelaburan semula syarikat digital di Malaysia dengan mempromosikan peluang pasaran dalam inisiatif Malaysia Digital.

“Langkah diambil K-KOMM sejajar dengan aspirasi yang digariskan di bawah MyDIGITAL agar Malaysia menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital dan memposisikan Malaysia sebagai Hab Digital ASEAN,” katanya. – MalaysiaGazette