Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara bebas daripada amalan merokok melalui strategi Generasi Penamat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri turut berharap Rang Undang-Undang berkenaan dapat dibentangkan pada mesyuarat Parlimen akan datang.

Beliau juga menyeru Keluarga Malaysia agar membudayakan gaya hidup sihat seperti mengaktifkan diri, memupuk minda sihat, makan secara sihat dan tidak merokok serta melakukan saringan kesihatan secara berkala.

“Saya percaya bahawa rakyat juga berkongsi harapan yang sama dan transformasi sistem kesihatan negara perlu melibatkan pelbagai aspek termasuk menerapkan pendekatan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’ iaitu kesihatan adalah tanggungjawab bersama.

“Harapan saya agar sistem kesihatan negara menyokong dan membantu Keluarga Malaysia kekal sihat dan bukan lagi menumpukan kepada rawatan dan intervensi setelah berpenyakit.

“Kedua adalah sistem kesihatan negara mampu memenuhi keperluan rawatan Keluarga Malaysia secara mampan dan berdaya tahan daripada semua cabaran termasuk dalam situasi pandemik global.

“Ketiga pula sistem kesihatan negara menjadi kebanggaan Keluarga Malaysia kerana merasakan mereka adalah sebahagian daripadanya dan juga menghargai peranannya,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selepas Persidangan Kemuncak Dasar kesihatan 2022 ketika di di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2022.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 atau Health Policy Summit 2022 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 atau Health Policy Summit 2022 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan membincang serta merencana masa hadapan sistem kesihatan negara melalui pembangunan Kertas Putih Kesihatan. – MalaysiaGazette