KUALA LUMPUR – Mohd. Aziz Mohd. Rawi, 38, dari Batu Caves, Selangor memenangi hadiah utama peraduan jawab dan menang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berupa bar emas seberat 50 gram pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022.
Selain Mohd Aziz, Chew Lin Lin dan Zahara Ramli masing-masing membawa pulang telefon bimbit Samsung S20 FE dan Samsung A52 manakala Faridah Yahya tidak pulang kosong apabila memenangi basikal, Java Zello Bike 20 inci.
Pemangku Pengurus Besar Nafas, Saripol Baharin Karim berkata, hadiah tersebut adalah simbolik Jubli Emas Nafas yang ke-50 yang ditawarkan di gerai pameran Nafas sepanjang MAHA 2022 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang.
“Pada hari ini (semalam) kita telah menjalankan sesi cabutan bertuah bagi peraduan jawab dan menang di gerai pameran Nafas di Dewan A, Maeps.
“Sesi cabutan bertuah itu turut kita langsung secara ‘live’ di Facebook dan pemenang untuk hadiah utama dan hadiah-hadiah lain turut kita umumkan hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui pada sesi cabutan bertuah itu.
Turut hadir pada majlis cabutan bertuah peraduan jawab dan menang adalah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid; Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob serta beberapa ahli jemaah pengarah Nafas.
Selain itu, Selain itu, Nur Syakirah Omar memenangi seterika stim, Philips PerfectCare Compact Steam Generator, Ahmad Redzuan Bedu memenangi tablet, Samsung Tab A7 Lite dan Wan Zulaikha Wan Mohd Sufian membawa pulang televisyen Sharp berukuran 42 inci.
Menurut Saripol Baharin, Nafas berterima kasih kepada semua pengunjung yang telah menyertai pertandingan itu dan mereka yang melawat gerai Nafas sepanjang MAHA berlangsung.
“Saya tidak menyangka kita menerima lebih 20,000 penyertaan pada peraduan jawab dan menang ini. Semoga kita berjumpa lagi pada MAHA yang akan datang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain peraduan tersebut, Nafas turut menjalankan pelbagai sesi jualan dan lelongan kepada semua pengunjung MAHA.
Katanya, bagi sesi lelongan ayam sejuk beku pihaknya berjaya menjual lebih 2,000 ekor ayam sejuk beku dalam pek sekilogram sepanjang 11 hari MAHA berlangsung.
“Selain ayam pek, Nafas menawarkan pelbagai produk ayam seperti ayam potong sekilogram, ayam potong 14, paha ayam tanpa tulang, filet ayam dan ayam super yang dijual pada harga istimewa.
“Produk-produk ayam ini dibawa kerana kita tahu ia adalah makanan popular rakyat Malaysia.
“Nafas mempunyai misi dalam memenuhi keperluan dan permintaan pengguna dalam industri makanan halal yang lestari melalui pengeluaran, pemprosesan, pengedaran serta pemasaran,”ujarnya.
Pada masa sama, Saripol berkata, selain produk ayam, pihaknya turut menawarkan jualan harga murah beberapa produk terpilih dari jenama Peladang dan juga jualan minyak pelincir jenama NAFASLUBE.
“Selain itu, Nafas terlibat sama di Laman Mekanisasi, Laman Padi dan Laman Agroedutainment yang turut dimeriahkan dengan aktiviti serta mempamerkan produk-produk keluaran NAFAS,” katanya. – MalaysiaGazette