PBM
Gambar hiasan.

BANYAK aspek perlu dipertimbangkan oleh Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sebelum membuat keputusan berhubung permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai gabungan parti politik itu malam ini.

Persoalan penting yang perlu diperhalusi oleh pucuk pimpinan BN adalah sama ada PBM yang diketuai oleh Datuk Zuraida Kamaruddin akan membawa nilai tambah atau sebaliknya.

Dari sudut positif, PBM kini mempunyai tiga kerusi Parlimen iaitu Ampang yang diwakili oleh Zuraida sendiri selain Larry Sng di Julau dan Steven Choong Shiau Yoon. Sekiranya permohonan PBM diluluskan, BN secara automatik dapat tiga kerusi tambahan.

Bagaimanapun, kelebihan itu dijangka tidak bertahan lama kerana keupayaan ketiga-tiga Ahli Parlimen terbabit untuk mempertahankan kerusi yang disandang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) agak diragui. Pada PRU-14, Zuraida, Larry dan Steven memenangi kerusi masing-masing atas tiket PKR.

Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020, Zuraida meninggalkan PKR dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Bekas Ketua Wanita PKR itu akhirnya menyertai PBM pada Jun lalu.

Steven pula dipecat dari PKR pada 28 Februari 2021 dan beliau kemudian menjadi Ahli Parlimen bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Larry meninggalkan PKR pada bulan yang sama dan turut menyatakan pendirian menyokong PN. Kedua-dua Ahli Parlimen itu kemudian mengumumkan penubuhan PBM pada 19 November 2021.

Sekiranya BN menerima PBM, polemik akan tercetus memandangkan UMNO selama ini lantang mengecam perbuatan lompat parti. Kebanyakan pemimpin-pemimpin PBM berasal dari PKR yang berseteru dengan UMNO.

Barisan Nasional
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta barisan kepimpinan BN yang lain pada Konvensyen BN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 1 Jun lalu.

Sikap keras UMNO terhadap amalan lompat parti yang membelakangkan mandat pengundi itu amat difahami. Seramai 16 Ahli Parlimen dari parti itu berpaling tadah menyertai Bersatu selepas PRU-14.

Sentimen akar umbi yang menolak amalan ‘politik katak’ pasti diambil kira oleh pimpinan tertinggi BN dalam mesyuarat malam ini. Jika mereka meluluskan permohonan PBM, mereka bakal berdepan risiko dilabel ‘cakap tak serupa bikin’.

Satu lagi ‘beban’ yang datang bersama PBM adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 27 Julai lalu atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia.

Walaupun Paul Yong telah direhatkan daripada bergiat secara aktif dalam politik parti dan tidak lagi menyandang jawatan Bendahari Kebangsaan PBM dan Pengerusi PBM Perak, sabitan tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan imej PBM kerana beliau masih lagi bersama parti tersebut.

Paul Yong yang kini dalam proses rayuan kes tersebut merupakan bekas pemimpin DAP. Begitu juga dengan seorang lagi pemimpin PBM iaitu ADUN Buntong, A. Sivasubramaniam.

Melihat kepada kelebihan dan kekurangan yang dimiliki PBM, terpulanglah kepada pucuk pimpinan BN yang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mempertimbangkan permohonan parti tersebut.

Dalam membuat keputusan, pandangan parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang setia bersama UMNO mengharungi kepayahan selepas PRU-14 perlu juga diambil kira.

Tanpa PBM pun, parti-parti komponen dan gabungan sedia ada dalam BN dilihat sudah cukup mantap dalam usaha menjayakan misi kembali menjadi parti pemerintah yang dominan di negara ini selepas PRU-15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast